Saturday, March 19, 2016

Gerimis Kasih Kita 26 (i)



“Riz bawak saya beli baju.” Teragak-agak aku menjawab.

Hairan! Rizhan kata, Rizwan yang benarkan dia ambil aku. Dah ni kenapa pulak mamat ni muka merah menyala macam ni?!

Tak pasal-pasal pula terjadi sesi soal siasat begini. Seolah-olah aku pesalah kesalahan besar.

“Abang tak berduit sangat ke sampai tak mampu belikan Nurul baju?!”

Aku tersentak. Suara keras dan kasar lelaki itu menghantar rasa aneh pada sang hati. Serentak memaku kaki di situ, mematikan segala pergerakan.

Tak ada kata-kata dapat aku balas. Terkejut disergah dah satu hal. Dilemparkan ayat sebegitu kesat satu hal lagi. Tambah dengan kehairanan tu satu hal lagi. Tidak perlu menunggu lama, pelbagai perasaan sudah menguasai diri. Rasa sukar nak bernafas. Dan tak semena-mena, air mata terus terjun mengaliri pipi.

Rizwan menarik nafas dalam-dalam sebelum melepaskannya kasar.

“Pergi rehat.”

Suruhnya senafas. Dan selepas itu, dia berlalu ke muka pintu. Sempat dicapai kunci kereta sebelum kelibatnya menghilang di balik daun pintu.

Aku termangu-mangu dengan pelbagai rasa yang bercampur aduk. Yang termampu hanyalah membiarkan air mata menjadi teman kala ini.



Pandangan matanya lepas ke tengah buana.

Rizwan menelan liur. Tak syak lagi, rahsia yang disimpan kemas selama ini telah terbongkar. Bagaimana, dia tidak pasti. Tapi yang nyata, orang yang paling tak patut tahu yang berjaya membongkarnya. Dan saat ini, dia sedang menerima pembalasan.



Dua minggu lepas aku menangis bagai nak rak gara-gara kena marah bila keluar dengan Rizhan. Hari ini, emak dia pulak suruh kami keluar. Tapi dia diam membatu saja. Tak sepatah pun membantah.

Hairan. Sungguh aku hairan.

Kalau betul tak suka aku keluar dengan adik dia, buatlah sesuatu. Jangan pulak reti marah aku saja. Bukannya aku suka-suka keluar dengan adik ipar sendiri.

Melihat dia tertunduk ke lantai dengan mengetap gigi buat aku bengang. Sakit hati pun ada.

Depan emak dia dah jadi bisu pulak?!

Yang mengamuk sangat aku ikut adik dia dulu tu kenapa?! 

Akhirnya aku turutkan saja langkah Rizhan tanpa menegurnya. Biarkan saja dia dengan kebisuan dia tu. 



Mama punya pasal, terpaksa jugak aku tercatuk di sebelah Rizhan ini. Kalau diikutkan, memang sudah tawar hati. 

Pasal itulah aku langsung tak buka mulut dari tadi. Siap kalihkan muka ke cermin, konon-konon ralit sangat tengok pandangan sekeliling. Padahal fikiran sudah menerawang jauh.

“Macam mana awak boleh kenal abang?”

Tiba-tiba orang sebelah bersuara.

“Emm? ..” Pertanyaan untuk kepastian. Padahal dah dengar jelas tadi.

“Macam mana awak boleh kenal abang?” Rizhan ulang sebut. Dia ikutkan saja rentak aku.

“Oh, kenal? Er ..” Tak tahu apa yang patut aku sebutkan, dan apa yang patut disembunyikan.

“Aik .. lupa ke? Pelik ni!”

“Hmm .. bukan lupa! Cuma .. tak berapa ingat.”

“Pulak ..”

“Biar saya teka .. terserempak,.. kemudian .. cinta pandang pertama?”

Aku diam sejenak.

“Er .. lebih kurang la.” Beberapa saat membisu, akhirnya aku iyakan saja.

Serta-merta dia menjongket bibir.

“Hmm .. biasa sangat! Apa kata ubah sikit jalan cerita tu? Cinta tiga segi ke? Atau.. terperangkap dengan dendam. Tak pun yang lebih tragik?”

“Er .. maksudnya?” Dua kening bertaut dek kerutan. Rizhan di sebelah dipandang tepat.

“Tak da apa. Saya cuma bosan dengan cerita-cerita biasa .. Realitinya, hidup ni ada kalanya lebih complicated. Tak dapat diselesaikan, tak boleh juga disingkirkan. Stay unsettled, till the end!”

Pandangannya tertala tepat pada dua mataku. Parasnya serius.

Dia mengukir senyum.

Aku masih membisu. Kurang jelas dengan maksud yang cuba disampaikan. Tapi .. gerak hati merasakan sesuatu. 

Dia gelak kecil. 

“Dah, dah! Tak perlu bebankan otak awak pikir benda tu semua. Sekarang ni, teruskan hidup, ikut rentak yang diatur. Okay?”

Pesanan itu .. menusuk terus ke kotak ingatan, juga ke lubuk hati.

“Jom, pizza dah menunggu awak kat dalam tu!”

Akhirnya, aku memboloskan diri dari perut kereta. Membontoti langkah lelaki itu. Sambil fikiran masih dibuai kata-katanya. Salahkah kalau aku kata .. pelik manusia ni?!



            Selesai makan dan beli barang yang emak dia sebutkan tadi, aku ingatkan dia akan terus pandu kereta ni balik rumah. Tapi nampaknya dia sengaja nak melengah-lengah. Sekejap singgah sini, sekejap nak singgah situ pulak. Aku pun dah naik bosan.

“Riz nak apa sebenarnya ni? Nak cakap sesuatu ke?” Dari tadi aku dah perasan niat dia tu, tapi tak mahu tanya apa-apa pasal malas nak bercakap banyak. Tapi dah dia buat perangai macam ni yang tak ada tanda-tanda nak berhenti, jadinya kenalah buka mulut jugak.

Mula-mula dia diam.

“Riz nak cakap apa? Cakaplah, Kak Nurul dengar.” Dah dia masih diam, terpaksa aku berdiplomasi lagi.

Dia tergelak sinis.

“Kak Nurul ..” Sebaris dia mengulang sebut, masih bersisa dengan gelak kecil yang dibuat-buat.

“Anis ... itu lebih sesuai.” Itu yang dia jawab. Ditekankan sebutan nama aku.

Dada mula berdetak kuat. Nampak gayanya perbualan ini menjurus kepada situasi ‘tak selamat’. Dan benar, jawapannya mengelukan lidah. Bisu terus.

Dia diam lagi. Aku bukan sekadar diam. Terus bisu, kelu .. tertunduk ke lantai, .. resah ..


Tiba-tiba tawanya meletus. Jelas sekali dibuat-buat.

Aku termangu melihat. Pelik betul perangai budak ni!

Beria-ia dia ketawa, walaupun jelas dibuat-buat.

Sambil tergeleng-geleng dalam tawa yang masih bersisa, matanya memandang mukaku lama.

“Senyum sikit. Kerut banyak sangat dah tu. Karang lekas tua.” Ujarnya. 

Dan dia terus kembali mengemudi stereng.

Sedang aku ... terasa darah panas menjalari seluruh tubuh dengan detak jantung kian ganas menghentak dada!
 




No comments:

Post a Comment