Sunday, March 20, 2016

Gerimis Kasih Kita 26 (ii)



Satu per satu lakaran dia belek. Hasil tangannya. Lorekan ligat tangan bergandingan dengan bayangan dalam kotak fikiran yang sangat kemas, hasilnya sangat menakjubkan. Nampak sangat hidup. Seakan-akan wajah itu sememangnya mempamerkan diri untuk ditatapnya.

Jari-jemarinya naik, mengusap-usap wajah yang dipotretkannya sendiri. Terasa angin rindu menjentik pangkal hati. Rindukan dia .. rindukan waktu itu .. saat di kala lirikan mata dan senyuman mahal itu dilukis nipis untuknya. Saat dadanya bergetar menerima lirikan dan jelingan,.. meskipun ia seakan-akan isyarat menyuruh dia menjauh.

Anis! 

Tanpa sedar, suara hati mula berseru.

Tergambar kembali senyuman perempuan itu kala berbicara dengan Ayuni. Terdengar-dengar tawa nipisnya kala bergurau senda dengan si adik.

Serta-merta sebak menghinggapi dada.

Terlayar kelembutan tingkah dan suaranya kala berbicara. Tertib dan sopannya kala menyuap makanan.

Terasa sendat di dada kian membusung.

Tak semena-mena air matanya menitis. 

Sakit! Terlalu sakit!

Baru dia mengenal bahagia, sekelip mata ia direnggut. Rakus ... sehinggakan tidak sempat dikecap walau secicip.

Tatkala bayangan lelaki di samping wanita itu berlegar di ruangan mata, tidak mampu lagi dia menangkis titisan air mata yang kian melebat. Laju mencurah-curah, seolah-olah tengkujuh membadai, menghanyutkan tunas-tunas yang baru bercambah.



Sebelah tangannya menggapai tangan kananku. Digenggam perlahan.

“Mama setuju dengan Riz, .. Nurul patut tinggal sini. Senang kalau ada apa-apa.” 

Aku jeling orang sebelah. 

Dia diam. Hanya kelihatan rengkungnya memanjang menelan liur.

Kalau begitu gaya, rasanya kami berpendapat yang sama. Tidak bersetuju.

Aku kalih pandang ke muka mama. Kali ini aku pula menelan liur.

Susah nak mereka alasan bila mama tayang muka seperti itu. Muka berharap. Alasan melepaskan diri yang nyata-nyata akan melintang dengan kehendaknya. Paling-paling kurang tercuit hatinya bila dengar. Dan paling tidak diingini kalau mama merajuk. Dengan aku mungkin dia susah sikit nak mogok, sebab baby  dalam perut aku. Tapi kalau dengan orang sebelah yang suka merenung lantai ni, mungkin sadis sikit nasibnya. Barangkali kembali jadi sedingin sebelum ni. 

“Er ...” 

Aku jeling lagi orang sebelah.

Takut nak jawab sebenarnya. Sejak orang sebelah ni pandai naik suara, aku tak mahu pandai-pandai beri kata putus.  Buat keputusan adalah hak dia. Nanti karang tak pasal-pasal kena jerkah lagi.

Lambat-lambat hujung mata aku nampak dia mengangkat muka.

“Ya, lah. Nanti kami bawa barang pindah sini.”

Selajur ayat tanpa nada itu diungkapkan, kesannya membawa seulas senyuman manis mama.

Lambat-lambat aku tarik senyum tawar, membalas senyuman mama.




Dua-dua diam. Dia sedang menyangkut pakaian dalam almari. Aku tak mahu dekat dengan dia, jadi langkah kaki aku panjangkan ke sebelah sana katil. Duduk menghadap ke pintu beranda yang ditutupi dua lapis langsir sambil mengeringkan rambut dengan tuala. Dan melayan rasa tak puas hati yang berbuku-buku dalam dada.

Masa lalu melintasi dia, aku buat tak nampak. Seolah-olah aku seorang diri di sini.

Sejujurnya aku terasa hati. Dah lama berlalu, tapi rasa tak puas hati tetap bersarang. Aku tak perlukan kata maaf. Cukup dengan penjelasan. Barulah aku mengerti kenapa dia bertindak seperti itu.

Tak sempat mengomel panjang, dia sudah melabuhkan duduk di sebelah.

Aiseh!

Ini yang aku tak suka ni. Nanti mesti dia bagi ayat-ayat dia. Ayat-ayat jiwang yang buat aku geli. Tapi dengan ayat tu jugak aku jadi kesian dekat dia. Pastu mulalah nak buat baik lagi dekat dia. Hish ... tak suka, tak suka!

Aku buat tak tahu. Terus kirai-kiraikan rambut. Cuma lebih cepat, lebih kasar dari tadi.

Mula-mula dia tengok je muka aku.

Sesaat ... dua saat ...

Bila aku masih macam tu, dia pegang tangan kanan aku.

Dah! Pakai kuasa tangan la pulak!

Tuala di tangan dia ambil. Dialihkan letak duduknya ke belakang aku. Perlahan-lahan, dia kiraikan rambut yang masih basah ini.

Alammaak ..!

Cik hati ... tolong duduk diam-diam! Tak payah berdegup kuat sangat, la!

“Orang boleh buat sendiri, la.” Tak mahu hanyut punya pasal, aku berganjak ke kiri sedikit. Tuala di tangan dia aku cuba ambil. Sengaja buat muka masam.

“Abang buat.” Dikerdipkan matanya perlahan.

Nak memujuk la tu!

Aku pun nak berdegil.

“Sayang pusing depan, abang tolong keringkan rambut ni.” Tak sempat aku bagi ayat bantahan lain, dia dah pegang dua-dua belah bahu ini, lalu dipusingkan ke depan. Terus dia sambung keringkan rambut ini.

Er .. sayang?! 

Tertelan liur aku dibuatnya.

Haih ... rambut orang, dia pulak sibuk!

Malas nak bukak mulut, aku diam saja. Biarlah kalau dah rajin sangat.

Tapi tak lama, bila dia tiba-tiba memaut leher ini dari belakang dengan dua tangannya. Didaratkan bibirnya ke kepala. Terasa desah nafas yang hangat. Degup jantung yang memukul dadanya terasa berdenyut di belakang.

Sudah! Tak pasal-pasal jantung aku makin kencang berlari.

“Sayang ...”

Alahai ... terasa longgar lutut!

“Abang minta maaf.” 

Baru saja ayat itu meniti pendengaran, hati ini dah menjerit “ya, maaf diterima!”.

Barangkali panahan dari hati, menikam terus tepat ke dalam hati.

Degup jantungnya makin pantas menghentak. Dan desah nafasnya makin kuat terasa. Aku pejamkan mata. Dua tangan menggapai lengan sasanya, lalu kugenggam kemas.

1 comment:

  1. Homai..berbaloi menunggu setelah sekian lama... karya kamu begitu menepati akal dan anganan saya dari bab ke bab seterusnya.
    Lantas teruskan..well done cik writer

    ReplyDelete