Saturday, April 30, 2016

Aku Tak Percaya Cinta!



Cemburunya aku!

Pusing kanan, Tia tengah bukak hadiah. Pusing kiri, Moon tengah tilik bola kristal. Yana di penjuru kelas pulak asyik membelek dompet Gucci. Dan Dayah di sebelahnya tersenyum bangga dengan Cadbury di tangan. Hampir semua kawanku menerima pemberian daripada orang yang istimewa sempena Hari Wanita Sedunia. Hanya aku yang terkebil-kebil melihat kegirangan kawan-kawan yang bagaikan budak 5 tahun dapat lolipop.

Cool, Hana! Cool! Pujuk hati, cuba mententeramkan perasaan sendiri. Padahal tubir mata dah terasa panas. Dah bengkak semacam dah pun.

Lantas kaki bergerak laju ke bilik air. Terlepas jugak lima, enam titis air mata dalam perjalanan itu.

Aku kaku depan cermin. Menilik-nilik muka sendiri yang tiada celanya. Parut tak ada. Jangankan jeragat, jerawat pun tak timbul pada muka aku yang bujur ini.

Kenapa la aku tak berteman macam orang lain?! Hati masih berbisik sayu.

Apasal la ter’emo’ pulak ni?! Rileks, Hana! Rileks! Apa kau nak cemburukan, hidup solo kan bagus?! Jimat kredit, jimat masa dan tenaga, jimat air liur, tak de sape nak menyibuk hal kau pulak tu!

Aku tak percaya cinta! Aku tak percaya cinta! Aku tak percaya cinta!

Aku tilik lagi pantulan imej diriku. Fuh ... lega!

Beberapa ketika hati bermonolog, barulah aku rasa yakin untuk keluar. Sempat lagi aku intai senyum yang sengaja dibuat-buat kat cermin.

Buruknya!

Lantaklah! Asalkan tak nampak macam baru keluar mahkamah, sudah!

Tatkala kaki melangkah kembali ke kelas, kuliah Cik Nurhijrah sudah bermula. Rasa bersalah pulak duk layan blues tadi. Kan dah ketinggalan lecture penting, ni ?! 

“Apa itu imbangan air?” Senyap seketika. Seorang demi seorang dipandang. Mengharapkan ada yang akan bersuara balas. Tapi semuanya kaku di kerusi masing-masing dengan mata yang terkebil-kebil.

“Imbangan air ialah keseimbangan antara jumlah air yang diterima dari atmosfera yang bersamaan dengan jumlah air yang keluar ke atmosfera. Atau dalam erti kata lain, jumlah kerpasan atau hujan yang sama banyaknya dengan jumlah air yang mengalami proses sejat peluhan dan perubahan air yang disimpan dalam tanah dan air larian.” Agaknya penat menanti kami yang kelihatan pening-pening lalat ini bagi jawapan, pensyarah manis yang bertudung hijau itu akhirnya menerangkan dengan panjang lebar.

Terangguk-angguk kepala kami, menandakan faham apa yang beliau sampaikan.


Hari Jumaat. Cuti hujung minggu di negeri Terengganu Darul Iman yang telah diangkat sebagai ‘Bandar Raya Pesisir Air’.

Aku berpakat dengan 4 orang member kamceng untuk menyewa kereta separuh hari pada hari ini. Tujuan aku satu je, untuk mendapatkan stok makanan dan alat tulis yang hampir kehabisan. 

Selesai beli barang aku di pasar raya Mydin ni, aku ikut je budak 4 orang yang tengah rambang mata menilik kasut. Mentang-mentanglah ada sale!  

Naik rimas jugak aku dengan sikap buruk member 4 orang ni. Kalau pilih kasut, tak cukup 2 jam tak sah! Yang bengangnya, beria-ia tilik yang tu, belek yang ni, capai yang kat sana, alih-alih belinya tak! 

Saat ini, mata juga menjadi geli melihat satu pasang anak muda yang turut sama melihat-lihat kasut di situ. Siap berpegangan tangan, bertepuk tampar lagi. Ei ...

Makin lama tengok, makin naik angin aku. Sebelum benda yang tak sepatutnya berlaku terjadi, aku meminta diri untuk menunggu di Nasi Kukus Paka. Dapat jugak basahkan tekak yang kering ni.

Menonong saja aku berjalan seorang diri. Sudah menjadi kebiasaan, aku kalau berjalan tak tengok dah kiri kanan. Apalagi nak senyum sana, senyum sini. Cam perasan comel lak nanti.

Mungkin sudah tersurat, kebiasaan itu membawa kepada kecelakaan hari ni. Entah macam mana, tiba-tiba sorang mamat muncul depan aku. Aku yang jenis jalan speeding ni apalagi, tak sempat langsung nak brek. Ter’accident’ la kat situ. Nasib baik tak de sampai terjatuh atau tersungkur. Nanti tak pasal-pasal buat malu aje.

Sorry, sorry!” Itu aje la yang mampu diucapkan. Dia siap tayang muka simpati lagi. Aku tengok muka dia dengan ekor mata. Jeling tajam sikit. Alahai ... comel la pulak!

Hati terasa panas, lagi-lagi bila kasut kulit dia yang aku sure mengeluarkan bunyi ketap-ketup bila berjalan landing selamat atas kakiku yang hanya beralaskan sandal setebal satu inci. 

Mak aih! Aku telan liur. Kalau tak de orang sekeliling ni, mau aje aku mengaum macam harimau dan membaham mamat yang tinggi melangit ni dengan gigi taring. Sakit siot!

Tapi tak cool la cam tu! Dengan muka berkerut menahan sakit dan amarah, aku anggukkan kepala dan berlalu. Elok-elok cara jalan aku yang macam model bertukar gaya terus, mengangkang dan terhenjut-henjut jadinya.

Malu tak terkata bila orang yang berselisih dengan aku tersenyum sumbing tengok cara aku jalan. Muka yang dah cukup masam ni dah bertambah kelat dan keruh. Sabar je la!

Niat asal nak makan nasi kukus tak jadi, sebaliknya aku meluru masuk KFC dan bergegas ke tingkat atas. Nasib baik ada meja kosong.

Jatuh je punggung ke kerusi, cepat aku tanggalkan sarung kaki dan meniup-niup jari-jemari kaki yang terseksa kesakitan.

Ya ALLAH! Sakitnya tak terkata. Cepat aje ia membengkak dan menjadi kemerah-merahan.

Menitis jugak air mataku. Saat-saat camni terus teringatkan emak. Kalau emak ada ni, tentu mak dah sapu minyak dan urut dengan tangannya yang penuh dengan sentuhan ajaib itu.

“Mak! Sakit!” 

Tak tertahan rasanya sakit ini. Rintihan halus itu meniti laju di bibirku. Sesekali aku seka air mata dengan telapak tangan.

Nasib baik sebelah kanan je. Kalau dua-dua belah kena, maunya aku meraung sekuat hati. Biarlah emak tak dengar pun, sekurang-kurangnya hati aku lega dapat melepaskannya.

“Erk ... Hana ...” Seseorang tiba-tiba mencuit bahuku. Terhenti terus tangisanku. Aku pusing ke belakang. Almaklumlah, aku duduk di kerusi yang menghadap dinding. Kalau tak, camne aku nak nangis, kan?! Malu wo kalau orang tengok!

Dengan pandangan yang berbalam-balam, aku nampak muka berkerut Tia, Moon, Dayah dan Yana. Dan sorang lagi. Terbeliak bijik mata. Mamat tu?!

Cepat aku palingkan muka. Alahai ... malunya! Mesti dia nampak mata yang basah ni.

Tangan kanan dan kiri sama-sama bekerja keras menyapu air mata yang masih bersisa. Kaki yang tadi elok bersila aku turunkan.

4 orang kawanku mula mengambil tempat. Masih dengan muka berkerut seribu itu. Mamat tu jugak duduk semeja dengan kami. Apesal lak dia ni?! Sesat ke?!   
 
Aku cuba berlagak biasa. Kononnya! Padahal kecengenganku sudah terbongkar. Apa la, nama je umur 20, tapi nangis cam budak 2 tahun!

Sekarang, semua mata memandangku.

Aduh ... rasa tebal lak muka nih! Walaupun tak sanggup, terpaksa aku akui ... jatuh sudah sahamku!

“Apesal ni, Hana?” Akhirnya Dayah bertanya. Agaknya dah puas menanti aku membuka mulut bercerita.

“Erk ... tak de pape. Korang nak makan apa? Biar aku gi beli.” Saja aku nak lepaskan diri. Walhal sebelum ni aku la yang paling liat nak beratur cam budak sekolah kat kantin tu. Sah-sah makin naik heran member-memberku. Lagi pulak aku chaw sebelum diorang sempat menjawab. 
Hehe ... nampak sangat tak ikhlas!

“Saya mintak maaf sangat-sangat. Tak sengaja. Betul saya tak perasan awak lalu tadi. Maaf, ok?” Beria-ia lelaki itu memohon kemaafan.

Tengok mukanya yang berkerut seribu dan serius itu, aku tahu dia benar-benar maksudkannya.

“Tak pe. Saya tau awak tak sengaja. It’s okey.” Balasku.

Bohong! Jerit hatiku tiba-tiba.

Aku tayangkan sengih yang tak berapa menjadi. Sape mamat ni sebenarnya?!

“Sakit sangat, ke? Tentu sakit, kan? Kalau tak, tentu awak tak nangis.” Dia melihat kakiku di bawah meja.

Bangang! Buat apa nak malukan aku lagi dengan ayat cam tu?! Tahu tak betapa malunya aku nih?! Hi ... hilang habis kecomelanku!

Bila dia tengok kaki aku sampai berkerut-kerut muka, baru aku perasan yang kaki aku sebelah aje bersarung kaki. Aik ... mana pulak aku campak sarung kaki tadi?!

Aku tepuk dahi. Aduhai ... jadi tadi aku pergi beratur dengan hanya memakai sebelah sarung kaki? Patutlah orang sebelah aku kejap-kejap kerling, kejap-kejap kerling kaki aku ni! Ingatkan dia nampak betapa ‘menderitanya’ kaki ini!

Cepat-cepat aku mencari yang sebelah lagi dan terus menyarungnya.

Yang 4 sahabat tu pun satu! Kenapa tinggalkan mamat sesat ni sorang-sorang kat sini?! Entah sape-sape pulak tu!

“Ini Nazril Hakimi Sulaiman. Abang sepupu aku.” Tiba-tiba satu suara kedengaran. Tia muncul bersama dulang makanannya. Ceh ... macam tau-tau minah ni!

Tia bangun semula untuk membasuh tangan. Tinggal aku dengan mamat ni lagi!

“Jadi ... saya Nazril. Nice to meet you.” Ucapnya tiba-tiba. Kali ni senyum manis pula menghiasi muka itu.

Aku pula pandangnya dengan muka berkerut. Beberapa ketika sebelum perlahan-lahan kuukirkan senyum. Plastik!

“Hana.” Balasku sepatah. Teringat balik pesan mak. Emak kata, “mesra pada-pada. Musuh jangan dicari.” Sebab tu aku malas nak cakap banyak dengan orang tak kenal ni.

“Oo ... Hana orang mana?”

Aku pandang lagi mukanya. Muka macam memang nak tahu.

“Kelantan.” Sepatah lagi aku menjawab, dengan hati yang sebal. Banyak cakap la pulak mamat ni!

Kepala aku toleh ke tempat basuh tangan. Apa ke jadahnya si Tia buat  sampai tak muncul-muncul lagi ni?! Yana, Moon dan Dayah pulak syok berborak dalam barisan panjang di kaunter pesanan. Lembab pulak! Selalunya bab makan macam orang kebulur!

“La ... Kelantan? Kelantan kat mana? Saya asal Seremban. Tapi biasa jugak dengan Kelantan.” 

Eh ... beria-ia pulak dia!

Aku tengok mukanya macam tak percaya. Bosannya! Tapi hati sedikit terusik. Tinggi dia ni! Duduk camni pun aku paras dagu dia je! Baka mana la agaknya ya?!

“Pasir Puteh.” Sepatah. Ha ... kan dah jelas ketidakselesaanku. Takkan tak paham lagi, kot?!

“Pasir Puteh?! What a coincidence?! Kawan baik saya orang Pasir Puteh jugak!” Pulak!

Aku senyum aje. Mengacau-ngacau straw dalam gelas dan menyedut air Pepsi. Fuh ... nikmat!

“Orang selalu kata orang Pasir Mas lawa-lawa. Tak tahu kebenarannya. Tapi saya rasa, orang Pasir Puteh pun tak ada kurangnya.” Tiba-tiba dia bersuara.

“Huk ...!” Tersedak aku dibuatnya. Nasib baik tak tersembur. Buntang bijik mata. Tapi aku duduk statik aje. Kaku seketika.

  Aku kerling wajah itu dengan hujung mata.

Senyuman dan tatapan matanya membuatkan jantungku seakan berhenti berdetak. Ops ...

Sorry, sorry! Ramai sangat orang.” Aku tersentak. Nasib baik 3 orang ni datang tepat pada masanya. Bolehlah aku cover sikit.

Tia datang hanya selepas itu. Rupa-rupanya dia ralit bergayut telefon dengan si buah hati. Bertuah punya budak!


Langkah kakiku kecil-kecil sahaja. Dayah, Yana dan Moon mengiringiku. Sedangkan Tia beriringan dengan Nazril. Mesra nampaknya mereka. Cemburu?! Oh, tidak!

Baru aku tahu yang Tia ada abang sepupu kat Terengganu ni. Kerjanya kat Kerteh. Kalau tak silap, jurutera petroleum mamat tu.

Tiba-tiba mereka berhenti. Aku yang kat belakang terpaksa turut brekkan kaki. Tia tarik Yana, Dayah dan Moon. Terkebil-kebil aku dibuatnya.

Kau tinggalkan aku sendirian, Tia?! 

Tiba-tiba rasa sedih menerpa.

“Tia nak draw duit.” Macam paham-paham aje dia ni.

Dia mengajak aku duduk di bangku panjang luar Mydin. Aku ikut saja. Melihat ragam manusia yang pelbagai membuatkan aku leka.

“Bulan depan, insya’ ALLAH saya sampai Pasir Puteh.” Nazril bersuara tiba-tiba.

Aku pantas menoleh. Tindakan refleks apabila kampung halamanku disebut. Semangat ibu pertiwi, kan.

“Tapi, kenapa?” Nak je aku tanya cam tu, tapi mulut malas la pulak nak beramah mesra. Takut benda lain pulak berlaku.

“Kawan baik saya tu kahwin.” Sambungnya kemudian.

Oh ... begitu rupanya!

“Tia kata masa tu awak dalam cuti. Jadi ... boleh saya panjangkan kaki ke rumah awak? Dan nombor, please?” 

Spontan aku berpaling.

“Nak buat apa?” Ops ... ayat tak manis didengar terkeluar. Ah ... lantaklah!

“Berkenalan. Dengan keluarga, dengan hidup awak.” Erk ... melankolik la pulak dia ni!

Aku diam sekejap.

“Tak payahlah.” Aku menjawab tegas, tapi masih berlembut.

“Kenapa?” Dia pulak bertanya.

“Hah?” Aku ni jenis pending ke, dia ni punya ayat tak sampai maksud?

Nazril membisu. Tapi masih memandang aku. Menanti jawapan, barangkali.

“Rumah tu bukan saya punya.” Selamba aku tuturkan kata-kata itu. Ceh ... nampak sangat ayat terdesak! Otak tak sampai nak pikir alasan.

Nazril tersenyum kecil. Pandangannya dialihkan seketika sebelum tengok aku balik. Dari ekor mata pun aku nampak jelas. Apa, cantik sangat ke aku ni?! Tak puas pandang?!

“Jadi ... saya kena mintak izin dengan Encik Fahim dan Puan Asiah dulu?” Cepat mata aku berkalih tepat ke mukanya. Mana dia tahu nama umi dan abah aku?!

Berkerut seribu muka aku pandang dia.

“Atau kena tanya Abang Fakhry dan Kak Yanti, Abang Fahrin, Abang Fadzli, Kak Farahida, Kak Farahayu, Fakhrul dan Farahidayu, Cik Farahana?” 

Aku telan liur. Gila mamat ni! Mana tau semua ahli keluarga aku ni?!

Bangga melihat perubahan mendadak aku agaknya, Nazril tersenyum sendiri.

“Saya tahu banyak pasal awak, Hana.” Riak lah tu!

Dia ni spy ke?! Hati kecilku berdesis. Melihat dia atas bawah.

“Saya cuma orang biasa je. Cuma berusaha apabila mahukan sesuatu. Sampai dapat.”

Gulp! Tau pulak apa aku fikir!

Nazril pandang aku penuh makna. Tapi aku pandang dia penuh curiga.

Tiba-tiba terlintas satu akal. Serta-merta senyum tersungging di bibir.

“Kalau macam tu, cubalah uji sejauh mana kemampuan awak kali ni. Berminat jugak saya nak tengok.” Entah apa yang masuk dalam kepala otak aku ni, aku pun tak tahu. Cakap ikut suka je.

“Saya mintak diri dulu.” Bersama senyuman, aku berlalu untuk mencari 4 sahabat yang nampaknya bakal menerima ‘habuan’ nanti.

Baru beberapa langkah diatur, handsetku bergetar, mengisyaratkan ada mesej masuk. Pantas aku keluarkan Sony Ericsson R 306 itu dari poket seluar.  

Satu nombor tak dikenali.

“ .. sy akn buktikan. Apa yg sy mahu, akn sy peroleh. Sbb sy percayakan cinta .. dan awk jg akn mengakuinya ..”

Aku terpempan seketika. Tetapi kaki terus melangkah. Tanpa sedar, sebuah senyuman hadir sendiri di bibir.

No comments:

Post a Comment