Sunday, April 17, 2016

Gerimis Kasih Kita 27 (ii)



Sunyi. Sepi. Tiada sesiapa lagi di ruang tamu ini. Hanya dia seorang diri terhenyak di sofa, selepas Tatiana yang dipanggil Mak Cik Tati dia suruh pergi berehat saja.

Ditarik dalam nafas dengan mata yang terpejam. Butang kemeja coklat tua dibuka satu persatu. Tali leher memang sudah lama ditanggalkan, selamat diam dalam beg sejak masih di pejabat lagi.

Penat. Itu yang dia rasa. Nak panjat tangga pun macam dah tak larat.

Tak apalah, lelap dulu sekejap kat sini. Dah dekat pukul 1 pagi ni, orang lain pun semua dah lena agaknya.
 
Dibaringkan tubuhnya di sofa. Nyaman terasa.

“Riz!” 

Baru sesaat dua fikiran mula melayang, terasa namanya dipanggil.

Kacau!

“Riz” 

Nak tak nak, dia membuka mata. Terpacul tegak dua manusia di pandangan.

Bila jelas muka-muka itu, baru dia mula bagi respon. Diukir senyum tipis sambil membangkitkan tubuh daripada pembaringan. 

“Baru balik? Dari mana?” Bersusah-payah dia membuka mata dan mulut demi melihat figura wanita itu. Ya, wanita itu! Kerana wanita itu, dia gagahkan jugak bangkit. Kalau hanya Rizwan seorang diri di situ, sah-sah dia pekakkan telinga. Itu kalau nasib baik. Kalau nasib tak baik, entah-entah ada yang dapat habuan sebab ganggu dia tidur.

“Dari masjid. Riz baru balik ke? Kenapa tidur sini? Ni .. dah makan ke belum?” 

Panjang pulak soalan Nurul Anis. Tak pasal-pasal Rizhan rasa tercuit. Terluah tawa kecil. Membuatkan dia mengabaikan saja soalan – “dari masjid pukul 1 pagi??”

Sempat dia mengerling, terbias muka berkerut si kakak ipar yang memaku anak mata pada dirinya. Dan Rizwan di sebelah pandang mereka silih berganti. Mungkin tak puas hati. Siapa tahu?

Dia tertawa kecil lagi. 

“Hm ... baru balik. Penat sangat, duduk sini kejap. Belum makan. Dan tak nak makan ... nak tidur je. Riz naik dulu, ya.” 

Lalu dia bangkit, menuju ke tangga. Satu persatu anak tangga di daki. Sambil itu, pandangannya jatuh ke badan sendiri. Butang kemeja sudah selamat terbuka semua, terserlah baju panas yang masih membaluti tubuh. 

Patutlah! Kalau tak ada baju panas ni, agaknya Anis takkan pandang pun aku.

Dalam langkah lemah, segarit senyum menyinggah di bibir. Makin lebar bila teringat kata-kata perempuan itu tadi. 

Ambil berat!

Dan terus perbualan tengah hari tadi datang ke kotak ingatan.

Anis! Malam ni ... aku boleh bawak senyum ni sampai ke tidur. Cukuplah ... kalaupun malam ni saja!




“Kenapa tengok saya macam tu?”

Aku terus melipat telekung. Tak pandang dia, tapi aku tahu dia dari tadi pandang aku. Mungkin tak silap kalau aku kata, pandangan tak puas hati.  Sebab pertanyaan aku pada Rizhan tadi agaknya.

Dia terbata-bata untuk bertanya.

Perlahan-lahan dia menghenyakkan duduk berhadapan denganku, di birai katil.

“Yang abang perasan, Nurul biasanya tak macam tu.” Itu mukaddimah dia.

Mungkin ini masanya!

Hati berdesis. Rasa ingin tahu memang sangat membuak-buak. Tapi takkan aku nak soal dia direct, kan? Tak pasal-pasal ribut kecil yang memang dah bertiup ni terus bertukar jadi puting beliung. Tak pun tornado terus. Bukan ke haru jadinya?

“Macam tu, tu ... macam mana?” Kali ini baru aku angkat pandangan, menentang anak matanya.

“Nurul sendiri tau ...” 

Bicaranya terputus. Dia tarik senyum nipis sambil menggeleng kecil.

Aku pulak yang jadi pelik.

“Apa dah jadi ni? Hmm .. Riz cakap apa?” 

Selepas berjeda seketika, itu yang dia tanya. Suaranya dilunakkan.

Terhenyak dengan soalan dia ... terkelu lidah. 

Dah! Terkena! 

Aku pulak penasaran. Mata tak tahu nak tala ke mana. Konon nak jadi penyelamat keadaan dalam diam-diam, macam tak tahu apa-apa .. sekali belum apa-apa lagi dah tertangkap.

Dia ni memang la ... tahu saja apa benda dalam kepala aku ni! Psikik .. sixth sense .. telepati; ... atau apa saja nama yang dilabelkan; ... Tolonglah! Tolong nyah dari sini! 

Selalu aku yang kalah! Sangatlah tak adil!

“Apa yang Riz cakap dekat Nurul, hmm? Cuba bagitau abang.” 

Lembut gigi daripada lidah!

Mungkin sebab aku dah nampak kalut di mata dia, tapi masih membisu, jadi dia dah mula pakai strategi dia ... serangan psikologi. Buat lutut terasa longgar.

Aku tahu aku dah kalah. Tak guna menjawab lagi, nanti makin kaw-kaw demerit kosong tu merudum jatuh jadi angka negatif. Jadinya baik aku angkat kaki saja.

Dan dia masih dengan psikiknya, terus tangannya laju melilit lenganku. 

Aduh! 

Macam mana dia tahu aku nak lari ni?!

Tak jadi angkat kaki. Tapi tak bermakna aku akan angkat anak mata untuk ‘mengalahkan’ diri sendiri dengan lebih teruk lagi. Sudahnya aku tilik telekung di tangan tanpa rasa jemu.

“Sayang diam macam ni .. macam mana abang nak terangkan benda yang sayang nak tahu tu?” 

Rizwan mampir. Diusap-usap lengan isterinya.

Sesungguhnya dia bersyukur sangat dikurniakan isteri yang lurus, polos sebegini. Senang sangat-sangat dapat kesan perubahan Nurul Anis. Tingkah lakunya cepat sahaja dibaca, difahami. Dan paling penting, TUHAN senantiasa membantu, mempermudah dia memujuk, dan memperlembut hati isterinya untuk dipujuk.

Arif sangat dengan sikap Nurul Anis, sebab itu dia semakin pandai melunakkan kata. Kadang-kadang terasa diri semakin lembut. Manakan tidak, kalau dah selalu pakai suara volume  paling terkebawah.

Tak kisahlah, yang penting TUHAN peliharakan rumah tangga ini agar sentiasa damai tenteram. Begitu lebih baik. Tak perlu jerkah-menjerkah, apalagi naik kaki tangan. Cukuplah sekali itu suaranya naik, tak mahu lagi diulangi. Tersayat hati sendiri bila mana jerkahan itu mengundang air mata Nurul Anis.

“Mana ada cakap apa.” 

Jawapan perlahan daripada Nurul Anis. Buat Rizwan tertawa kecil.

Alahai, isteriku ... terang-terang tak pandai menipu! Jangankan menipu, berdalih pun tak reti!

Err ... nak kena ajar ke ni?! 

Sempat soalan itu singgah di benaknya.

“Dah, tu?” Dia turutkan saja rentak Nurul Anis. Telekung di tangan isterinya diambil, lalu dibawa ke penyidai di tepi dinding.

“Dari dalam kereta tadi lagi rasa macam ada orang nak cakap sesuatu dekat kita.  Kat rumah Haji Hashim tadi pun, rasa macam orang tu sekejap-sekejap tengok kita, sekejap-sekejap tengok kita. Masa balik tadi pun sama. Tapi yang herannya, dah berjam-jam lepas, tak pulak dia bukak mulut.” 

Nurul Anis diam membatu di tempat tadi.

“Sambung pikir nanti pulak. Dah lewat sangat ni. Cuci muka, cuci kaki, tidur dulu.” Bila isterinya terus tidak bersuara, tangan itu ditarik lembut ke arah bilik air. Tak membantah, Nurul Anis akur sahaja.

Dia menarik nafas panjang. Rizhan sudah makin ‘mengganas’! Pasti! 

Lihat sahaja keadaan sekarang. Perubahan sikap Nurul Anis. Paling ketara selepas Mama bawa isterinya itu keluar bersama Rizhan tengah hari tadi. Tak perlu diperhati, dia sangat peka segala hal tentang isterinya. Sedikit perubahan, terus dia sedar.

Rizhan beria-ia mahu mereka tinggal sebumbung.

Rizhan beria-ia memujuk Mama ‘menghadiahkan’ dia kereta baru. Sebenarnya lebih tepat lagi kepada Nurul Anis. Tapi disebabkan dia yang menjadi pemandu isterinya, secara automatik kereta itu jatuh ke tangannya; walaupun sekarang ini Rizhan sering kali menawarkan diri menjadi pemandu Mama dan isterinya.

Rizhan ... permainan apa kau bawak ni??!



“Riz kata awak berhutang dengan dia.” 

Muka Rizwan aku pandang tepat. Dah tentu! Ini hal besar. Rizhan mengaku dia sakit hati. Abangnya berhutang, dan dia berdendam.  

Sebab itu aku tak dapat lena walaupun mata sudah hantar isyarat mahu ditutup. Tapi yang tak patutnya, baru sekarang aku dapat kumpul kekuatan untuk suarakan. Saat jam dah tunjuk pukul 1.47 pagi!

Dia mengacip geraham. Reflek yang terbias daripada samar-samar lampu meja. 

Tengah hari tadi ... aku tergamam. Nafas rasa tersekat tatkala Rizhan bagitau punca hubungan mereka berdua makin renggang. 

 “Dia hutang Riz.”

Bila aku tanya berapa, dia ketawa.

“Kebahagiaan ... agak-agak berapa nilainya, kalau kebahagiaan yang dia dah rampas?”

Aku nampak mata Rizhan marak berapi. Gerun. Dah hilang sinar mata beningnya yang pernah aku tengok masa di Langkawi dulu.

Aku isteri Rizwan ... terlongo kala adik ipar aku itu isytiharkan akan membalas dendam. 

Sebab itu aku mahu berusaha jernihkan keadaan. Yang aku nampak, Rizwan sudah banyak melalui kesakitan. Aku tak tahu bentuk macam mana balas dendam yang Rizhan maksudkan, jadi aku tak dapat bayangkan apa lagi yang bakal lelaki di sebelah aku ini akan lalui. Tapi sejujurnya, aku tak sanggup, hatta membayangkannya sekalipun.

Rizwan berdiam diri.

“Boleh tak awak bagitau saya, apa hutang awak dengan Riz?” soalku selajur. 

Dia tetap membisu. Pandangannya kelihatan berat, tapi masih menengadah ke langit. Dadanya makin kuat berombak.

“Kalau duit .. berapa?” 

Rizwan menelan liur.

Soalan kedua .. masih dia biarkan.

“Tapi ... tentu bukan duit, kan?” Aku masih belum mahu berhenti. Rasa sayu dihimpit situasi sebegini. Permusuhan adik-beradik, yang secara tak langsung mengheret aku bersama. Terasa diri bertanggungjawab memperbaik kekeruhan ini.

Dia mengalih pandang ke arahku. Ada kerut berlapis di dahi itu. Kali ini dia menentang muka ini. Ada riak risau terbias. Desah nafasnya juga kian memberat.

Aku cuba menebak perubahan rona mukanya. Tapi tak ada apa dapat diandaikan. Apalagi dengan dua bibir yang bergerak-gerak, tapi masih membeku itu.

“Sebab dia kata awak rampas kebahagiaan dia.” Terasa air panas menerjuni kolam mata bilamana ayat itu meluncuri bibir.

Terbayang wajah Rizhan. Terbayang kesakitan yang ditanggung.

Rizwan memejamkan matanya. Rapat. Rengkungnya memanjang. Dan dari juring mata yang terkatup itu mengalir air hangat. 

Turun naik dada itu menahan buakan perasaan. Larian air jernih makin laju menerjuni pipi.
Meskipun tiada jawapan aku peroleh, tapi hati turut terjentik hiba. Melihatkan dia begini, tak salah kalau aku katakan, dia turut terasa sakit.

Dia tega menelan semua perasaan itu sendiri, sehinggakan membuka mata pun seakan satu kesalahan untuk dilakukan.

Aku jatuhkan tangan kanan ke bahu kanannya. Aku usap perlahan bahu itu, cuba mententeramkan ledakan emosinya. Sementara kanan kiri menggenggam jari-jemarinya. Perlahan-lahan, kepala aku sandarkan ke bahu itu. Membuatkan dia membuka mata. Lantas merangkul erat batang tubuh ini.

No comments:

Post a Comment