Saturday, April 30, 2016

Terima Kasih Cikgu!



Surah Yaasin ditutup. Tangan ditadah dan doa dibaca. Buat beberapa ketika, dia hanyut dalam keasyikan bermunajat dengan Pencipta-nya. Kesyahduan yang meresap ke dalam jiwa seakan-akan menyeru air matanya. Dibiarkan sahaja mutiara jernih itu menerjuni pipi.

Usai berdoa, dia berteleku di situ. Diusap-usap pusara yang masih merah tanahnya itu. Terasa seperti baru semalam mereka ditemukan. Berkasih dan bermesra. Tetapi kuasa Tuhan, hari ini insan itu sudah meninggalkannya. Dia bersyukur kerana diberikan peluang bertemu insan seperti arwah, yang telah menjadi bahu tempat dia menumpang bersandar. Memori itu sentiasa berputar di kotak ingatannya.


Syahira menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Mata meliar ke sekeliling untuk seketika. Buat kesekian kalinya, dia kembali memandang buku latihan yang terbuka luas di hadapan. Satu keluhan kuat dilepaskan.

Sudah hampir satu jam dia menghadap kerja rumah Matematik yang diberikan oleh Cikgu Rashidah. Namun, sehingga sekarang satu soalan pun tidak dapat dijawabnya. 

“Kenapa susah sangat nak faham Matematik ni?” Syahira sudah mula bermonolog. Dia berasa kecewa bercampur marah. Malahan juga terasa seperti mahu menangis. 

Hatinya bertambah sayu apabila mengenangkan semua rakan sekelas dapat memahami pengajaran yang disampaikan oleh Cikgu Rashidah. Hanya dia seorang yang masih tidak berjaya memahaminya. Disebabkan itu, dia malu untuk bersuara. Apabila Cikgu Rashidah mengajar, dia hanya memandang cikgu wanita yang sarat mengandung itu dengan pandangan kosong. 

“Aku perlu berusaha. Kalau tidak, sampai bila pun aku takkan dapat jawab soalan ni.” Syahira memasang tekad. Lantas gagang telefon diangkat dan jari-jemarinya menekan laju nombor telefon Yuhanis, kawan baiknya.

Beberapa ketika menanti, talian bersambung. Syahira menyapa Yuhanis dengan ungkapan salam. Suaranya ceria kerana dapat menghubungi kawan baiknya itu untuk meminta bantuan memberikan tunjuk ajar, seperti sebelum ini.

“Saya minta maaf, Syahira. Saya sibuk, tak boleh nak mengajar awak. Awak belajarlah sendiri, ya.”

Syahira terdiam. Yuhanis sudah memutuskan talian, tetapi dia masih setia melekapkan gagang telefon ke telinga. Tanpa dapat ditahan-tahan, air matanya laju menitis. Hati yang sudah kecewa bertambah-tambah walangnya. Akhirnya, dia meluru masuk ke bilik tidur dan menangis sepuas-puasnya. 


Hari ini Syahira melangkah ke sekolah dengan lemahnya. Bermacam-macam perasaan bergolak di dadanya. Mata pelajaran Matematik ada hari ini. Dia bimbang jikalau Cikgu Rashidah mahu mengutip kerja rumah pada minggu lepas. Sudah banyak kali dia ditegur kerana tidak menyiapkan tugasan. Dia sudah cukup malu untuk ditegur lagi.

Dia juga malu untuk menegur Yuhanis. Kawannya itu tentu sudah jemu memberikan tunjuk ajar kerana dia sukar untuk memahami walaupun Yuhanis menerangkannya berkali-kali. Syahira berasa kesal, namun apakan daya, dia betul-betul memerlukan masa yang sangat lama untuk memahami sesuatu konsep dalam Matematik.

Sesaat demi sesaat yang berlalu, degupan jantungnya bertambah kencang. Disebabkan rasa cemas itu, pengajaran Bahasa Melayu yang merupakan mata pelajaran kegemarannya tidak dapat diikuti dengan baik. Berkali-kali matanya mengerling jam yang tergantung di dinding hadapan kelas, sehinggalah Cikgu Aimi yang mengajar mata pelajaran itu keluar.


“Assalamualaikum.” Tiba-tiba, satu suara kedengaran di hadapan kelas. Pelajar-pelajar Tingkatan Satu Dinamik serta-merta memanggungkan kepala. Kemudian, mereka bangun dan menjawab salam yang dihulurkan. 

Sebaik sahaja Cikgu Hajariah menyuruh mereka duduk, barulah masing-masing melabuhkan punggung ke kerusi. Semuanya memandang cikgu yang anggun berbaju kurung merah itu tanpa sebarang suara.

“Cikgu Rashidah sudah mula bercuti. Jadi, saya akan mengajar subjek Matematik kelas ini sehingga Cikgu Rashidah kembali bertugas.” Bersama senyuman yang tidak lekang di bibir, Cikgu Hajariah memperkenalkan dirinya kepada pelajar-pelajar Tingkatan Satu Dinamik. Sesi suai kenal dijalankan terlebih dahulu sebelum beliau memulakan pengajaran.


“Kita berhenti di sini dulu hari ini. Kelas akan datang nanti, kita akan masuk tajuk yang seterusnya. Sebelum tu, sila hantar kerja rumah yang Cikgu Rashidah bagi pada minggu lepas.” 

Masing-masing bersilih ganti ke depan untuk menghantar buku. Cikgu Hajariah memerhati murid-muridnya dengan senyum di bibir. Namun, apabila sampai giliran Syahira, hatinya seakan tercuit. Murid itu bermuka muram dan teragak-agak untuk menyerahkan bukunya. Cikgu Hajariah tidak terus menegur, sebaliknya melebarkan senyuman tatkala pandangan mata Syahira berlaga dengan matanya.

“Ketua kelas, tolong angkatkan buku-buku ni ke bilik guru.” 

Firdaus selaku ketua kelas akur pada arahan. Cikgu Hajariah turut berlalu ke bilik guru.
Syahira menghela nafas lega. Meskipun dia tidak dapat menangkap semua pelajaran tadi, tetapi sedikit-sebanyak dia dapat memahaminya. Cikgu Hajariah tidak meminggirkan sesiapa pun. Cara pengajarannya juga membuatkan dia berasa selesa.


Buku-buku yang kemas tersusun di sudut meja dibeleknya. Nur Syahira binti Azfar. Terus buku itu ditarik. Sehelai demi sehelai halamannya diselak. Melihatkan tanda pangkah yang banyak mewarnai buku latihan itu membuatkan Cikgu Hajariah mengukirkan senyum nipis. 

Benarlah cerita yang disampaikan Cikgu Rashidah sebelum ini. Syahira tidak dapat mengikuti pelajaran dengan baik. Buktinya, banyak ruangan jawapan yang kosong. Kalau berjawab pun, hanya sebilangan kecil yang betul. Nafas ditarik sedalam-dalamnya. Cikgu Hajariah yakin dia akan dapat membantu Syahira.


Hari kedua mengajar kelas Tingkatan Satu Dinamik, Cikgu Hajariah sudah memulakan rancangannya. Beliau sengaja meminta Syahira mengambil buku-buku yang sudah siap disemak di bilik guru.

Syahira akur pada arahan. Meskipun begitu, sepanjang perjalanan jantungnya berdegup dengan sangat pantas. Dia dapat merasakan maksud di sebalik arahan itu. Tetapi dia tetap diam membisu.


“Ini bukunya.” Cikgu Hajariah bersuara, mematikan lamunan Syahira.

Syahira menghampiri meja Cikgu Hajariah untuk mengangkat buku-buku tersebut.

“Syahira ..” Seperti yang diduga, suara itu bergema lagi. Tingkah Syahira terhenti. Dia memandang wajah cikgunya. Tidak lama, kerana dia malu untuk menentang mata cikgunya.

Cikgu Hajariah mengukirkan senyum manis. Dia tahu perasaan Syahira. Pada wajah pucat itu terlukis riak kerisauan.

“Cikgu Aimi selalu memuji awak. Syahira aktif dalam kelasnya. Berpantun, bersajak, berbahas .. semua Syahira boleh buat.” Cikgu Hajariah sudah bermukaddimah.

Syahira hanya mampu menelan liur. Pandangannya jatuh ke lantai bilik guru.

“Cikgu tahu Syahira boleh buat. Semuanya, termasuk Matematik. Tentu ada sebab kalau Syahira tak boleh lakukannya.”

Sepi. Hanya bunyi kipas yang berpusing sahaja kedengaran.

Cikgu Hajariah cuba memberikan ruang untuk anak muridnya itu bersuara, berkongsi masalahnya. Namun, diam Syahira seakan-akan memberikan suatu jawapan baginya. 

“Cikgu sedia membantu Syahira. Bila-bila masa sahaja. Cikgu yakin pada Syahira, Syahira boleh berjaya.”

Tanpa dipinta-pinta, air mata Syahira menitis. Dia terharu. Inilah kali pertama dia diberikan peluang sebegini.

Tangan Cikgu Hajariah diraih, lantas diciumnya.

“Terima kasih, cikgu. Terima kasih. Saya berjanji, saya akan usaha sampai berjaya.”

Cikgu Hajariah membalasnya hanya dengan anggukan. Tangan halus Syahira digenggam, tanda sokongan padu buat anak murid itu. 



Hampir setiap petang dia meluangkan masa di sekolah. Membuka ruang untuk memberikan tunjuk ajar serta membimbing anak murid yang seorang itu. Syahira bukanlah tidak mampu mengikuti subjek itu, tetapi dia memerlukan lebih banyak peneguhan. Mungkin disebabkan kecenderungannya yang lebih kepada bidang sastera berbanding logikal Matematik.

Mata itu ralit menyelesaikan soalan latihan yang diberikan. Di luar sedar, buku nota yang selama ini disimpan kemas daripada pandangan rakan-rakan terselak ditiup angin kipas. Coretan berdakwat biru memenuhi kedua-dua belah muka. 

Pandangan Cikgu Hajariah tertancap pada dada buku. Sebaris, dua baris membaca .. keningnya terangkat. Cerpen?

“Betul tak macam ni, Cikgu?” Gemersik suara halus yang tiba-tiba kedengaran memeranjatkannya. Spontan pandangan beralih. Muka keanak-anakan Syahira mengambil alih perhatian.

Tanpa suara, latihan yang diselesaikan diperhati.

“Hmm .. betullah ni.” 

Serentak, senyum manis terukir pada muka itu.

“Ok .. balik rumah, buat latihan ni pulak.” Dia menyambung. Sehelai kertas soalan diunjukkan.

Syahira menyambut dengan wajah ceria.

“Terima kasih!” Ucapan penuh bersemangat menyapa pendengaran.

Anak muridnya mula berkemas. Senyuman tidak putus-putus di bibirnya.

Cikgu Hajariah tercuit hati melihat. Sebelum ni dia tertengok sajak. Semalam pula pantun. Hari ni .. hmm .. berbakat!      

Pelajar yang unik .. 

Hatinya berdesis. 

“Syahira ..” 

Seruan yang menyebabkan kelincahan tangan kecil itu terhenti. 

“Ya?” Serentak dengan kening yang terangkat.

“Cikgu nak tengok .. boleh?” Pandangannya tuntas ke mata anak gadis itu.

“Tengok?” Kehairanan dengan soalan tergantung.

“Tu. Dalam buku tu.” Tak cukup dengan mulut terjuih, jari telunjuk sekali diarahkan.

Muka Syahira beku. Terkejut kerana buku nota yang diminta gurunya.

“Cikgu nak tengok karya Syahira. Boleh?” Permintaan penuh diplomasi. 

Teragak-agak dia menyerahkan. Dan dalam hati terus bertebaran tanda tanya.



“Awak berbakat.” Cikgu Hajariah bersuara memecah sepi.

Syahira terhenti menulis. Entah kenapa, hatinya tidak gembira. Selalunya dia akan berasa teruja untuk menemui cikgu yang seorang ini setiap kali lepas kelas. Tapi selepas buku nota peribadi sudah tidak lagi peribadi, perasaannya terganggu. Dia juga tidak mengerti.

“Apa kata .. karya tu, awak hantar peraduan? Masuk surat khabar ke ..?” 

Senyuman tersungging di bibir Cikgu Hajariah. Menambahkan resah Syahira.

Dia membatukan diri. Tidak bereaksi. Tidak juga meneruskan menjawab soalan latihan.

Diam Syahira secara tak langsung menghantar maksud kepada Cikgu Hajariah.

“Yakin dengan diri awak. Kembangkan bakat yang ada. Sayang kalau diketepikan ..”

Nasihat itu terus menerobosi telinga.

“Cikgu rasa .. saya boleh jadi penulis?” Tiba-tiba dia menyoal. Kesuraman masih membayangi riak muka.

“Ya! Cikgu yakin awak boleh. Karya awak .. menarik. Cuma perlu digilap lagi, biar lebih mantap.” Teruja pula rasa hatinya. Bersemangat dia mengutarakan pendapat dan sokongan.

“Tapi .. ayah saya kata .. buang masa.” Serentak, ada renik jernih mengalir dari kolam mata.

Cikgu Hajariah terdiam. Tidak menyangka kata-kata yang akan keluar dari mulut anak gadis yang sedang meningkat dewasa itu.

“Awak menulis sebab apa?”

Disapu air mata yang masih bersisa.

“Sebab saya nak berkongsi apa yang saya tahu. Apa yang saya rasa.” Nada sebak masih menguasai suaranya.

“Ayah awak cuma tak mahu awak hanyut. Tulis benda yang mengarut-ngarut, sampai abaikan perkara yang perlu diberi keutamaan.”

“Tapi kalau awak tulis pasal benda yang mendatangkan manfaat, itu lainlah.”

Pujukan itu sedikit-sebanyak membuatkan muka yang tadinya suram berarak ceria. 

“Teruskan usaha! Cikgu sokong awak! Ok?”

Dua bahu itu digenggam kejap. Menghantar isyarat sokongan padu.

Anak gadis itu terangguk-angguk. Semangatnya membara. Dalam hati berdesis lafaz kesyukuran.
 




Dia menarik nafas dalam. Lama juga dia hanyut dibuai kenangan semalam. Perlahan-lahan dia bangkit, menyusun langkah ke arah kereta yang tersadai di bahu jalan. Malam ini masih ada urusan yang perlu dilaksanakan. Dia tidak boleh leka, kerana ramai yang sedang menanti kehadirannya. Mereka yang dahagakan ilmu itu sentiasa setia menunggunya.

Dalam hati dia berbicara, “Selamat tinggal, guruku. Amanlah cikgu di sana. Terima kasih atas segala ilmu yang cikgu ajarkan. Tidak dapat saya membalasnya, hanya doa dapat saya iringkan. Semoga cikgu berbahagia di sana. Amiin..”
   
   

No comments:

Post a Comment