Saturday, April 30, 2016

Kerana Janji Itu!



Mataku meliar ke sekeliling. Segala-galanya masih seperti dulu. Hiasan dinding, bidai pintu, malahan susunan perabot, semuanya dalam keadaan yang sama seperti dulu. Kerusi rotan kesayangan arwah ibu masih di tempat duduknya. Masih dalam bentuk bulatan. Meja rotan itu juga masih kekal di tengah-tengah bulatan kerusi. Cuma kain alasnya sahaja yang tidak dipasang. Barangkali disimpan dalam almari.

Aku menapak ke arah almari di sudut tepi dinding. Perlahan-lahan, kubuka pintunya, menampakkan koleksi buku, majalah serta barangan perhiasan bersaiz kecil. Semuanya barangan yang sama yang pernah kulihat 10 tahun lalu. Barangan yang amat ibu sayangi!

Tak semena-mena empangan mataku bergenang. Aku pusingkan tubuh, menghadap Kak Tini yang masih berdiri di depan pintu. Bibirku cuba menuturkan kata, meminta penjelasannya, namun lidah seakan terkelu. Suara tidak terkeluar dari kerongkong.

Kak Tini menganggukkan kepalanya. Kemudian, dia membuka tas tangan, lalu mengeluarkan satu dokumen. Perlahan-lahan, wanita berusia awal 30-an itu menghampiriku. Redup pandangannya menatap mataku. Senyuman kecil terukir pada bibir nipisnya.

“Kakak serahkan kembali tanah beserta rumah ini pada Lili sebagaimana yang pernah Lili diami suatu ketika dulu.” Dokumen yang dipegangnya diserahkan kepadaku. Segugus anak kunci turut disertakan bersama.

Terkebil-kebil aku memandangnya. Sesungguhnya sukar untuk aku percayai tindakan kakak tiriku ini. Kartini Alia, lakonan apakah ini?!

Kali terakhir aku menemui orang yang membeli tanah beserta rumah ini adalah 7 tahun lalu. Walaupun aku sudah tidak tinggal dengan ayah kerana memilih untuk tinggal bersama arwah nenek dan Uncle Ian, tetapi aku tetap mengambil tahu akan hal ini. Tika itu, lelaki yang bergelar Datuk itu meletakkan harga 350 ribu ringgit atas aset berkenaan.

Meskipun hati memberontak dengan tindakan ayah menjual rumah yang menyimpan berjuta kenangan bersama arwah ibu, namun akhirnya aku terpaksa akur. Geran sudah bertukar milik. Dengan selesainya urusan jual beli dan pindah milik itu, maka hilanglah sudah tempat aku berteduh selama ini. Lalu tanpa teragak-agak lagi, aku mengikut Uncle Ian, bapa saudaraku yang juga adik tunggal arwah ibu balik ke Australia. Semenjak itu, aku tidak pernah lagi berhubung dengan ayah.



Aku melabuhkan punggung ke pangkin yang masih utuh berdiri di bawah pohon rambutan di laman. Pandanganku terarah ke dada langit, melihat kerlipan bintang-bintang yang menghiasi tirai malam. Indah sekali!

Tanpa dipinta, kenangan lalu mula berputar di layar ingatan. Mengimbau kembali cerita cinta arwah ibu yang berasal dari Australia dengan seorang usahawan sofistikated berdarah Melayu dari Malaysia, sebagaimana yang Uncle Ian kisahkan kepadaku. Kedatangan arwah ibu ke Malaysia bersama-sama Uncle Ian untuk melihat sendiri keindahan negara timur ini dan membina empayar niaga di sini akhirnya membawa ibu ke alam yang tidak pernah terfikirkannya, alam rumah tangga. Sedangkan sebelum ke Malaysia, ketika bekas teman lelaki ibu yang bernama Darien melamar, ibu yang bermati-matian menolak untuk berkahwin. Tapi lain pula ceritanya selepas ibu bertemu dengan anak jati Melayu bernama Hairi. Sejak saat itu, Caroline telah bertukar menjadi Aisyah, suri kepada pemilik sebuah syarikat kecil.

Kebahagiaan hidup arwah ibu memang tidak dapat dinafikan, apatah lagi setelah kehadiran aku, satu-satunya zuriat yang dikasihi. Meskipun hasrat ibu untuk melahirkan beberapa orang cahaya mata lagi tidak kesampaian disebabkan kesihatannya yang sangat membimbangkan, namun ibu tetap bersyukur. Aku diulit belaian kasihnya sepanjang waktu. Sehinggalah tiba saat ibu ‘diambil kembali’ olehNYA, aku masih tetap dapat merasakan kehadirannya di sisiku.

Sejak ketiadaan ibu, ayah mula berubah. Makan minumnya sekadar mengalas perut. Namun aku bersyukur kerana ayah tetap mengambil berat akan sakit pening dan makan minumku. Cuma bezanya dengan dulu, ayah jarang senyum. Malahan, cakapnya juga sekadar yang penting sahaja. Terasa?! Memang aku terasa! Meskipun yang ‘pergi’ ialah ibu, tapi keadaan yang berlaku seolah-olah ayah turut ‘pergi’. Pada saat itu, pada arwah nenek dan Uncle Ianlah aku menumpang kasih. Dan seorang sahabat yang sangat memahami, Dira, yang sudi mendengar segala luahanku.

Tatkala usiaku menginjak belasan tahun, aku mula nampak perubahan sikap ayah. Ayah bukan sahaja kelihatan semakin ceria, bahkan mula mengambil berat soal pemakanan dan pemakaiannya. Aku sedar, sudah tentu ada sesuatu yang mendorong ayah berubah kembali setelah sekian lama dia hidup menyendiri. Jauh di sudut hati, aku takut tempat arwah ibu ‘dicuri’ seseorang. Tetapi aku juga sedar, aku tidak layak menafikan hak ayah, apatah lagi menyekat hidupnya.

Tanggal ulang tahunku yang ke-16, bukan hadiah yang menggembirakan yang aku terima daripada ayah. Sebaliknya, pada tarikh itu juga ayah mencoretkan sebuah lagi sejarah dalam kamus hidup kami, perkahwinan keduanya dengan seorang janda beranak tiga, yang langsung tidak pernah aku ketahui kewujudannya. Ketika ayah dengan senyuman lebarnya direnjis di atas pelamin nan indah bersama Mak Cik Siti, aku menumpahkan air mata di kamar tidurku. Tidak ada sesiapa pun yang kisah tentangku. Hanya kawan baikku, Dira yang setia menemani. Dan aku yakin, selepas ini, aku akan terbuang dari rumah ini!

Dua tahun hidup sebumbung dengan ahli keluarga baru, aku sudah dapat merasakan yang hatiku telah hancur lebur. Dalam segala hal, aku yang selalu beralah. Memberikan seluruh ruang dan kesenangan untuk dikecapi oleh kakak dan dua orang adik tiri yang tidak pernah merasai hidup selesa sepertiku. Demi kasihku pada ayah, aku akur. Kartini Alia, Karina Azura, dan Karisma Adwa, ketiga-tiganya mendapat perhatian istimewa daripada ayah. Seolah-olah merekalah anak kandungnya.

Kartini Alia tidak sempat tinggal lama di rumah kerana ayah telah membiayai pengajiannya dalam bidang perubatan di Ireland. Hanya Azura dan Adwa yang tinggal bersamaku, dan bersedia merebut apa sahaja kepunyaanku. Segala barang berharga yang aku simpan, sekejap sahaja sudah menjadi milik mereka. Tumpah jua air mataku kerana barangan yang aku sayangi itu direbut, sedangkan ia hanyalah barangan murah yang boleh dibeli walau di tepi jalan sekalipun. Nilainya pada mataku hanya kerana ia mengungkap kenangan bersama arwah ibu.

Sekian lama bertahan, akhirnya aku terpaksa mengalah sekali lagi. Meski aku cuba mempertahankan hakku dalam rumah itu, namun aku sedar aku harus mengaku kalah. Buktinya sudah terlalu banyak. Malahan, tatkala kaki ini melangkah keluar dari pintu rumah, ayah langsung tidak menghalang. Suaranya juga tidak kedengaran walau sepicing. Saat itu aku bertambah yakin bahawa aku sudah lama tewas! Tewas dalam tangan ayah sendiri! 

Sepanjang perjalanan, air mata menjadi peneman setiaku. Nenek dan Uncle Ian sendiri langsung tidak mampu memujukku. Aku meluahkan segala perasaan yang aku tahan-tahan selama ini. Tidak pernah aku merasai kesakitan dan kesengsaraan sebegini rupa. Lagi menyeksakan kerana ayah sendiri yang tergamak ‘membunuhku’!

Saban waktu, aku tetap merisik khabar ayah. Berdoa dan berharap, suatu masa nanti, ayah akan datang menjemputku pulang. Meski masa terus berlalu, dan harapan kian pudar, aku masih setia membisikkan bunga-bunga janji tersebut. Pada Diralah aku mengharapkan berita-berita tersebut. 

Satu persatu cerita tentang ayah sampai ke telingaku. Ayah mula berhutang, isteri baru ayah itu terpaksa menggadaikan barang kemasnya, ayah terpaksa tutup syarikat, dan akhir sekali, ayah telah menjual tanah beserta rumah yang selama ini menjadi tempat kami berteduh. Aku yang mendengarnya terkedu, lalu terjelepuk jatuh. Gugur lagi air mataku. Berlegar-legar kembali janji ayah pada aku dan arwah ibu suatu ketika dulu, “Walau apa pun yang berlaku, abang takkan sesekali serahkan rumah dan tanah ini pada sesiapa. Ini rumah kita, istana kita. Abang akan pertahankan, biarpun terpaksa bergadai nyawa”.

Dengan bantuan Uncle Ian, aku bertemu sendiri dengan pembeli tanah beserta rumah itu. Aku tahu aku takkan mampu berbuat apa-apa, apatah lagi setelah lelaki itu meletakkan harga RM 350 000 atas aset berkenaan. Uncle Ian menawarkan bantuan kepadaku, namun aku menolak mentah-mentah. Dengan pelanggaran janji yang dibuat ayah sendiri terhadap arwah ibu itu, aku kira telah berkuburlah segala sumpah setia, kenangan dan impian yang pernah kami ikrarkan bersama-sama. Tidak ada gunanya aku memperjuangkan semua itu sedangkan ayah sendiri yang menghancurkannya.

Segala-galanya sudah lenyap. Lalu aku mengambil keputusan untuk mengikut Uncle Ian pulang ke Australia sahaja. Membina hidup baru di tempat yang belum mencoretkan sebarang kenangan luka di hatiku. Dengan harapan moga-moga Lili Safina yang pernah terluka dahulu menemui kebahagiaan di sana nanti.

Hanya Dira yang menghantar pemergianku. Betapa sedihnya perasaanku tika itu hanya TUHAN sahaja yang tahu. Nasib baiklah Uncle Ian sentiasa ada di sisiku.



Akhirnya, setelah bertahun-tahun menjadi perantau, tergerak hatiku untuk menjenguk kembali bumi Malaysia yang sudah lama kutinggalkan. Lagi pula, aku mendapat berita bahawa Dira kini ditahan di wad kerana kegagalan fungsi hatinya yang telah sampai ke tahap kronik. Aku pulang seorang diri sahaja kerana Uncle Ian sibuk sepanjang bulan ini.

Siapa sangka aku akan menemui Kartini Alia di hospital ini. Dari bilik Dira, aku dibawanya ke tempat yang lebih privasi. Dan dia mula menceritakan itu dan ini tentang dirinya. Entah mengapa hatiku langsung tidak terusik saat dia mengkhabarkan keadaan ayah yang tidak seberapa sihat. Aku hanya memandangnya tanpa sebarang reaksi, malahan  menyuruhnya menghabiskan ayat terakhir secepat mungkin.

Dan hari ini, aku menjejakkan kembali kakiku di sini, kerananya. Bila diimbau semula perbualan kami sejak bertemu balik tiga hari yang lalu, memang kata-kataku padanya pedas dan sinis. Sengaja aku bersikap sedemikian, biar dia tahu betapa aku terseksa kerana dia dan keluarganya. Tapi sekarang, ada rasa sesal menyelinap di hati kecil ini.

Aku menghembuskan keluhan kecil. Pandanganku jatuh pula pada pohon-pohon bunga yang memenuhi taman kecil berhampiran pagar masuk. Memang bukan bunga yang sama yang ditanam arwah ibu, tapi masih daripada jenis yang sama. Agaknya Kak Tini benar-benar berusaha keras untuk memulangkan kembali semuanya kepadaku.

“Kak Tini tahu kesalahan kami pada Lili sangat besar. Kalau Lili tak maafkan kami pun, kakak faham. Tapi kakak mohon, maafkanlah ayah. Semuanya kerana kami, jadi Lili janganlah bermusuhan dengan ayah. Tak sanggup rasanya melihat Lili berjauh hati dengan ayah, sedangkan Lili yang sepatutnya berada di sisi ayah sehingga ke hujung nyawanya”.

Kata-kata Kak Tini berlegar-legar lagi dalam kotak memoriku. Kejam sangatkah aku?! Melampaukah tindakan aku?! Tapi tidakkah ayah tahu betapa sakitnya hati ini?!

“Ayah janji ayah akan jaga Lili dan ibu seumur hidup ayah. Ayah janji ayah akan pertahankan semua yang kita miliki sekarang sehingga ke hujung nyawa ayah. Di sini kita bina istana kita, di sini jugalah kita akan habiskan sisa hidup kita.”

Terngiang-ngiang semula janji ayah di telingaku. Janji itu yang aku pegang selama ini. Janji yang ayah sendiri ikrarkan, dan akhirnya dia sendiri yang khianati. Kerana janji itu jugalah hati ini bertambah remuk, sehinggakan aku nekad membawa diri ke tempat yang sangat asing.

Aku pejamkan mata, menimbang semula langkah yang akan aku ambil selepas ini. Kalau ikut perancangan, aku akan terbang semula ke Australia minggu depan. Kerja yang bertimbun sedang menantiku di syarikat. Memanglah bosku, Uncle Ian, membenarkan aku bercuti sepuas-puasnya. Tetapi tak sampai hati pula nak buat macam tu kat dia. 



Sudah tiga empat kali aku memusing stereng, tetapi rumah bernombor 25 masih tidak aku temui. Ei ... susahnya kawasan perumahan ni! Baju dah lencun dengan peluh, rumahnya tak jumpa-jumpa! Dahlah kekok drive di sebelah kanan!

Berkali-kali membebel seorang diri dalam perut Vios hitam yang disewa untuk seminggu itu, akhirnya aku menarik nafas lega kerana mataku berjaya menangkap subjek yang dicari. Finally!

Ada dua tiga orang lelaki sedang berbual-bual di bawah garaj. Barangkali ahli keluarga tuan rumah. Lalu, aku memberi salam.  

Mungkin benar aku kejam! Tapi saat mataku menyaksikan sendiri seorang lelaki separuh abad yang terkial-kial menolak tayar kerusi rodanya, hatiku dipagut sayu! Pilu! Lelaki itu memusingkan tubuh dan kerusinya ke arahku. Mata kami bertatapan seketika. Kaku!

Saat itu, air mataku yang menitis setitik dua tadi semakin lebat mengalir keluar. Kaki bagaikan dipaku di tempat aku berdiri. Ayahkah itu?! Ya ALLAH! Apakah yang sudah terjadi?!

Seketika kemudian, Kak Tini keluar dari rumah dengan memapah seorang wanita. Berusia separuh abad, dan daripada pemerhatianku, wanita itu buta! Lama aku memerhatikan, akhirnya aku berjaya juga mengecamnya. Mak Cik Siti!

“Ayah kemalangan sewaktu kejar Lili masa Lili berangkat ke Australia dulu. Tak lama kemudian mak hilang penglihatan, sebab mata masuk sabun basuh baju. Masa tu, mak terpaksa ambil upah membasuh baju untuk tanggung keluarga.” Bergetar suara Kak Tini sewaktu memberitahuku.

Lagi galak air mataku meluncur menuruni pipi. Perlahan-lahan, aku menapak menghampiri ayah. Juraian air matanya aku sapu lembut, namun sekejap sahaja, aku ditarik ke pelukannya. 

“Lili mintak maaf, ayah! Lili janji takkan tinggalkan ayah lagi! Lili akan jaga ayah!” tanpa kusedari, bibirku melafazkan kembali janji itu. Janji yang telah bertahun-tahun aku kikis daripada ingatanku, yang pernah menjadi senjataku untuk melarikan diri daripada ayah.  
 


No comments:

Post a Comment