Saturday, April 30, 2016

Kujuga Mencintaimu!



Semua orang ingin mengasihi dan dikasihi. Tanyalah pada sesiapapun, sudah tentu jawapannya sama. Tidak terkecuali aku! Memang aku ingin dikasihi. Meskipun aku mengasihi seseorang, tapi aku tahu, kami tidak berkongsi perasaan itu. Hanya bertepuk sebelah tangan. Dan aku juga tahu, tidak mungkin dia akan mengasihiku. Kerana dalam sudut hatinya sudah lama terpahat satu nama lain. Aku pasrah.  


                Pandanganku masih terarah kepadanya. Dia masih seperti tadi, berbincang subjek yang paling sukar dalam kursusnya bersama beberapa orang budak sekelas. Khusyuk sekali. Aku kira dah dekat sejam mereka berbalas kata, tapi nampak macam masing-masing belum mahu berganjak dari tempat duduk. 

                Aku tarik nafas kelegaan. Dapat melihatnya selama hampir sejam walaupun terpaksa bertahan dalam ketidakselesaan di perpustakaan sudah cukup membuatkan hari ini berbunga indah. Senyum kecil hadir sendiri di bibirku.

                Tetapi sekejap sahaja! Kelibat Rania yang baru sahaja muncul dan melintasi tempat dudukku benar-benar membuatkan aku terasa panas tiba-tiba. Sah-sah dia menghala ke arah itu! Lagi-lagi dengan senyuman gatalnya tu. 

Aku tak dapat terima kemesraan itu meskipun mereka sekelas. Dengan mendapat jolokan rupawan daripada sekumpulan penuntut lain, perempuan yang lebih dikenali sebagai Nia itu aku rasakan cukup mengada-ngada. Perasan lawa! Tersenyum-senyum macam dia tu jadi tumpuan semua orang. Ei ... menyampahnya!

Aizat Haji Ilias menyambut kedatangan perempuan gedik itu dengan senyuman. Yang lain-lain juga turut berhenti seketika, malahan membuka ruang kepada Nia duduk semeja. Tak tahan melihat suasana itu, aku menutup kasar buku-buku yang aku gunakan. Alat tulis dan kertas-kertas nota aku kemas pantas. Lagi cepat aku berambus keluar, lagi bagus! Kalau tak, mata sakit, hati pun sakit!


Malam sudah semakin sunyi. Aku tengok jam di tangan. Patutlah, dah pukul 2.30 pagi! Kepalaku tertoleh ke katil sebelah. Wawa dah lama lena. Terbongkang teman sebilikku itu dengan memeluk bantal strawberi merahnya cap Cameron Highlands. Nasib baiklah anak gadis dari Kuala Pilah itu tidak bermasalah melelapkan mata dengan lampu terpasang. Dia yang juga sekelas denganku dah faham sangat-sangat tabiat aku yang suka belajar tengah-tengah malam.

Pernah dulu dia membebel marah kerana katanya, malam adalah waktu untuk tidur. Waktu belajar yang seeloknya adalah waktu pagi hingga ke petang. Entah fakta dari mana dikutipnya, aku pun tak tahu! Tapi bebelannya itu berakhir setelah dia benar-benar mengenali aku. Dah aku memang jenis belajar waktu tu, nak buat macam mana?! Lagipun, aku berjaga sampai pukul 3 pagi je. Masuk aje 3.05 pagi, aku dah lena. Itulah rutin harianku.

Biasanya pembelajaranku tak pernah terganggu. Tetapi malam ini, fikiran merusuh, terbayang-bayang wajah Aizat. Dalam keadaan macam ni, belajar apa pun tak masuk. Jadi aku kemaskan semua barangku, dan membaringkan tubuh ke atas tilam. Suis lampu aku tutup.

Kalau dia tak membahayakan dirinya semata-mata nak menyelamatkan aku 5 tahun yang lalu, tak adalah aku sampai sekarang tergila-gilakannya. Sehinggakan sanggup mengekori setiap jejak langkahnya, walaupun hanya dengan pandangan mata. Bila aku dapat panggilan melaporkan diri ke UM ini pun, aku berharap sangat yang kami akan bertemu di sini. Alhamdulillah, doaku termakbul akhirnya! Teruslah aku menjadi si pengejar bayang-bayangnya yang setia.

5 tahun yang lalu, ketika musim cuti persekolahan, aku pulang ke kampung untuk menemani dan menjaga nenek yang tak seberapa sihat. Sambil-sambil menunggu keputusan SPM diumumkan, umi yang beria-ia mahu aku belajar duduk di dapur bergurukan nenek. Lagi-lagi kerana  keakrabanku dengan nenek berbanding cucu-cucunya yang lain.

Tinggal di kampung memang menyeronokkan. Cumanya, timbul ketidakselesaan jika perlu keluar membeli barangan dapur di kedai Pak Cik Megat kerana perlu melalui sebatang jalan yang kecil dan agak jauh. Dahlah budak-budak ‘tak seberapa betul’ asyik melepak di situ. Meremang bulu romaku setiap kali perlu melintasi kawasan itu.

Mungkin telah tersurat kejadian itu akan berlaku. Entah bagaimana, pada hari Rabu itu, nenek tiba-tiba sakit teruk. Nak bangun pun tak terdaya. Naik risau aku dibuatnya. Aku menelefon umi dan memaklumkan keadaan nenek. Bimbang juga kalau dibiarkan lama-lama begitu. Apatah lagi hujan di luar masih tak mahu berhenti sejak pagi tadi.

Umi menyuruh aku masakkan bubur dan beberapa sajian untuk nenek. Aku akur dengan arahan umi. Lega hatiku apabila umi berjanji akan sampai petang nanti. Sebaik meletakkan gagang telefon, aku cepat-cepat berlalu ke dapur. Mencari semua bahan yang diperlukan untuk memasak. Sekali lagi aku naik risau melihatkan kebanyakan barang dapur sudah habis. Sambil berdoa, aku gagahkan hati mengayuh basikal ke kedai Pak Cik Megat. Kalau nak tunggu umi sampai dulu, alamatnya kebulurlah aku dan nenek tengah hari ini.

Aku meredah hujan yang renyai-renyai itu. Jantung berdegup kencang melihatkan ada dua orang lelaki di bahu jalan kecil itu. Mereka tersengih-sengih dan bersiul-siul mengusikku. Aku telan liur. Berharap moga-moga kayuhan kakiku bertambah laju dan selamat sampai ke kedai Pak Cik Megat. Dalam perjalanan balik nanti tak apalah, aku boleh mintak tolong Pak Cik Megat temankan!

Malangnya, jalan di situ terlalu becak dan dalam. Tayar basikal seolah-olah terus terbenam di dalam lumpur. Aku kerahkan sekuat tenaga, menghentak pedal basikal. Degupan jantung makin kuat memukul dada. Apatah lagi dengan sorakan dan gelak tawa ‘dua makhluk jalanan’ yang makin galak mentertawakan aku. 

Sekejap sahaja, mereka sudah mendatangiku. Aku ditarik kasar sehingga terjatuh ke dalam lumpur. Kemudian, aku dipukul, dan diseret ke pangkal pokok getah. Sakitnya tak terkata!

Air mata makin lebat mengalir. Aku dah tak sanggup hadapi semua ini! Kalau diberi pilihan, aku berharap sangat jasadku sudah tak bernyawa tika ini!

Tiba-tiba, satu suara menyergah. Kemudian telingaku menangkap bunyi pergelutan. Dalam hati, aku memanjatkan kesyukuran pada Yang Maha Esa.

Aku sempat melihat rupa lelaki budiman yang telah menyelamatkanku ketika dia mendukung aku keluar dari kawasan pokok getah itu. Muka dan tubuhnya cedera dan luka berdarah, namun aku tetap mampu memahatkan wajah itu dalam ingatan.

Sedar-sedar sahaja, aku dah berada di hospital. Aku menantikannya saban waktu di hospital, tetapi tidak kunjung tiba. Aku meminta jasa baik nenek menceritakan siapakah lelaki itu sebenarnya. Kata nenek, dia ialah cucu kepada Tok Ngah yang tinggal di hujung kampung. Satu-satunya cucu yang paling rapat dengan wanita tua itu.

Dek kerana rasa terhutang budi, aku kerap mengunjungi Tok Ngah. Menolong wanita tua itu di kebun, membersihkan rumah dan laman, malahan menghantar makanan padanya. Tetapi mungkin tiada rezekiku, tidak pernah sekalipun aku bersua dengan lelaki budiman yang telah menyelamatkanku. Bagus jugak, sebab aku masih berasa malu dengan kejadian yang berlaku! Dan nasib baik jugak mukaku berlumuran lumpur, tentu dia tak dapat cam aku!

“Mia!”

Satu jeritan kedengaran, menghentikan kakiku daripada terus melangkah. Aku pusingkan badan ke arah suara itu.

Wawa termengah-mengah menghayunkan kakinya ke arahku. Aku hanya menghadiahkan sengihan kepadanya sambil menggosok-gosok mata yang terasa memberat. Teringatkan Aizat punya pasal, habis terbabas masa tidurku! Sepanjang kelas hari ini pun aku asyik menguap saja. Entah apa yang belajar tadi, satu hapa pun tak masuk!

“Kau nak ke mana?!” Wawa yang sudah di sebelahku bertanya. Tangan kanannya selamba memaut bahuku. Desah nafasnya yang masih tercungap-cungap menampar kasar pipiku, menyebabkan aku menolak mukanya menjauh. Tapi perempuan itu tidak melepaskan bahuku. Sudahnya, aku biarkan saja.

“Nak balik tido. Ngantuk la.”  Sekali lagi tanganku naik, menutup mulut yang masih tak habis-habis menguap. Memang dahsyat sungguh ngantukku kali ni!

“Ada perjumpaan la wei! Pasal match bola tampar hujung bulan ni!” Wawa bersuara agak kuat sehinggakan terasa mencucuk gegandang telingaku.

“Argh ... malas aku nak pegi! Ngantuk ni!” Selepas agak lama terdiam, aku bersuara. Sesungguhnya bukan mudah aku nak buat keputusan begitu. Kalau boleh, memang aku tak mahu ponteng sebarang aktiviti kampus ni, tapi mata mengantuk punya pasal ...


Sebaik sahaja punggung mencecah kerusi, aku terus melentokkan kepala ke bahu Wawa yang duduk di sebelahku. Bising memanglah bising, tapi mataku cepat saja terlelap! Suara yang tadi kuat berbunyi makin lama makin sayup kedengaran, dan akhirnya senyap terus.

Aku tersedar tatkala terasa tubuhku digoncang-goncang. Perlahan-lahan aku buka mata. Muka hijau biru Wawa tersembul di depan mataku.

                “Bangun, Mia! Semua orang tengah tengok kau ni!” Perlahan, tapi keras suara Wawa berbisik memberitahuku.

                Serentak, aku pandang ke kiri dan kananku. Alamak! Semua mata terarah kepadaku. Gulp!

                Spontan aku bingkas bangun. Mata juga segar tiba-tiba.

                “Agaknya Cik Mia letih sangat. Tak mengapalah. Kami cuma nak tanya, boleh tak Cik Mia main hujung bulan ni?” Suara si pengendali yang tercegat di tengah pentas menarik mataku untuk memandangnya.

                Alamak! Si Budiman?!

                Aku terdiam seketika.

                “Emm ... main? Main apa?” Soalku agak bodoh-bodoh. Benar, otakku tak berfungsi langsung tika ini!

Serentak dengan soalan yang terpacul daripada mulutku itu, seluruh isi dewan yang aku kira seramai 300 orang gamat mentertawakanku. 

Match bola tampar hujung bulan ni. Inter-university. Cik Mia boleh main tak?” Lelaki itu menjawab, dengan senyum kecil di bibir.    

Sekali lagi aku telan liur. Serta-merta mukaku terasa tebal dan sebu. Macam manalah aku boleh tanya soalan bodoh macam tu?! Apasal aku tak teringat langsung pasal match tu?!

“Ada cadangan mahukan Cik Mia perform. Cik Mia macam mana? Setuju tak?” Sekali lagi dia bersuara setelah melihat aku masih diam membisu.

Lambat-lambat aku mengangguk. Kalau ikutkan, malas aku nak ambil bahagian dalam benda-benda camni! Tapi disebabkan tak mahu terus-menerus memalukan diri sendiri, aku setuju saja. 

Selepas itu, cepat saja perjumpaan berakhir. Tetapi aku masih membatu di kerusi sambil tekun menekur lantai. Budak-budak lain masih tersenyum-senyum, tergelak-gelak kat aku. Malu, siot!

Hei ... malaun mana yang pandai-pandai glamorkan nama aku ni?! Badigol sungguh! Mau aku terajang sampai patah riuk tulang dia! Ee ... jagalah! 

Sebaik keadaan sudah lengang, barulah aku dan Wawa bangun. Tapi aku masih menundukkan muka. Malu tak terkira!

“Cik Mia! Nice to meet you! All the best for the match!”

Tiba-tiba dia menyapaku.

Aku mengangkat muka. Sekadar tersengih dan menganggukkan kepala sebagai ucapan terima kasih. Kemudian cepat-cepat aku melangkah pergi.

“Hei ... malu betul! Malaun mana pandai-pandai sebut nama aku, Wawa?! Lahabau sungguh!”

Aku bersuara kuat, melepaskan perasaan yang terbuku. 

“Fendi. Dia tahu kau pandai main. Yang kau pun satu! Kau tido dalam dewan tu apesal?! Aku pun turut sama malu, tau!” Agaknya si Wawa ni pun berasap time kitorang ‘diperkenalkan’ tadi.

“Dah ngantuk sangat. Aku tak nak pegi, kau tarik jugak!”

“Eh, eh ... aku pulak yang salah!”

Diam.

“Tapi ... macam mana Fendi tau kau reti main? Kau bagitau dia ke?” Wawa tiba-tiba menyoal.

“Masa sekolah dulu, aku main untuk sekolah aku, lawan sekolah dia. Sekolah dia kalah.” Marah yang meluap-luap tadi surut dengan sendirinya bila bercerita pasal zaman muda-muda dulu. Agaknya inilah keistimewaan aku, mudah benar sejuk.

“Tapi bagus jugak ... sekurang-kurangnya ‘Lelaki Budiman’ kau tu tau kewujudan kau!”

Serentak dengan sebaris ayat yang dimuntahkan, Wawa melangkah laju meninggalkanku. Aku terhenti melangkah. Sekadar memandangnya dari belakang tanpa mampu bersuara.


“Tahniah, Cik Mia! Betul kata Fendi, awak memang pandai main!” 

Dia insan pertama yang muncul di depanku, dan melontarkan sekalung ucapan yang membuatkan hati ini berbunga riang.  


Bertitik tolak daripada peristiwa itulah aku mula menyedari warna-warni alam ini. Rasa bersemangat untuk ke kuliah. Kalau program persatuan dan kampus, lagilah! Dan dia juga mula menyedari rutinku di perpustakaan. Alangkah bahagianya melihat senyuman manis yang diukirkan khas buatku itu!      


Cuti semester sudah tiba. Perasaanku bercampur baur antara seronok dan sedih. Seronok kerana berpeluang berkumpul dengan seluruh ahli keluarga, dan sedih kerana tak dapat lagi mengejar bayang-bayangnya buat sementara waktu ini.


Aku tekun mengupas bawang di dapur yang sesak dengan wanita-wanita berumur. Esok rumah Che Wan Kiah ini akan meriah dengan majlis kenduri kesyukuran sempena perkahwinan Kak Feera, anak Che Wan Kiah. Kak Feera sememangnya disenangi semua orang, sebab itulah orang-orang kampung tak kisah bergotong-royong untuk majlisnya. Tok Ngah yang di hujung kampung pun sanggup datang menolong.

Meskipun Kak Feera hanyalah salah seorang sahabat yang aku kenali di kampung nenek ini, tapi aku juga tak kisah membantu mana yang patut memandangkan hubungan kami memang agak rapat. Che Wan Kiah juga selalu berkunjung ke rumah nenek, menambahkan keakraban yang sudah sedia terjalin antara keluarga kami.   

“Maaf Che Wan, Zat lambat sikit. Ada hal tadi. Mana kelapa yang nak kena mesin?”

Tiba-tiba satu suara kedengaran, mencuri perhatianku. 

Terangkat keningku melihat si empunya suara. Aizat?!

Dia terlopong memandangku.

“Mia?!”

“Kau kenal cucu Mak Nik ni, Zat?!” Tok Ngah mencelah.

“Satu U dengan Zat, nek. Mia ... cucu Mak Nik?!” 

Semua yang ada kat dapur itu sudah memandang kami. Dan mulalah usikan-usikan nakal berkumandang. 

Terasa membahang panas mukaku. Malunya tak terkata! 

Lagi haru jantungku bila Tok Ngah dengan nenek pun sama naik dengan mak cik-mak cik itu.

Aizat sudah memulakan tugasnya, tapi aku yakin telinganya menangkap setiap bicara yang keluar daripada mulut mak cik-mak cik ini.

Sudahnya, aku bingkas berdiri.

“Mia balik dululah Che Wan. Nak minum.” 

“Kat sini tak ada air ke? Ala ... buatlah untuk mak cik sekali, Mia. Dahaga ni. Sejag pun cukuplah. Semua boleh rasa. Ramai tukang ni. Yang kat sini boleh rasa, yang kat luar tu pun boleh rasa. Tak gitu, Mak Nik? Tok Ngah?”

Terasa macam seketul batu terhempap jatuh atas kepalaku dengar kata-kata Che Gayah. Aduh ...!!

Dengan lutut yang terasa menggeletar dan sendi-sendi yang seakan mahu luruh, aku bancuhkan juga teh o ais sejag. Ei ... sakit jiwa sungguh aku kalau camni!

Selesai buat air, aku melangkah ke arah pintu dapur.

“Nak ke mana, Mia? Minumlah air ni. Takkan nak minum pun kena balik?” Nampaknya Che Gayah belum puas lagi mengenakan aku. Apa tak cukup kasihan lagikah dia tengok mukaku yang sudah pucat lesi ini?! Malu, tau tak?!

“Malam karang Mia datang balik.” Kali ini aku buat tak dengar saja suara-suara sumbang yang masih kedengaran. Laju kakiku melangkah meninggalkan rumah Che Wan Kiah. 

Hei ... macam mana aku nak berdepan dengan si Aizat nanti?! Dengan Tok Ngah lagi?! Malu!!

Dengan hati yang sebal, aku ikut jugak umi dan nenek ke rumah Che Wan. Kalau diikutkan, memang aku tak mahu lagi jejakkan kaki ke sana buat masa ni. Tapi janji punya pasal, ditambah lagi dengan pesanan berkali-kali Kak Feera pada umi dan nenek, terpaksa jugak!

Asyik mataku menyaksikan upacara akad nikah yang telah memeteraikan ikatan suci antara Kak Feera dengan pasangannya, Nazril Danial. Sekali lafaz sahaja, semuanya selesai. Kemudian upacara membatalkan air sembahyang. Tersenyum aku memandang Kak Feera yang malu-malu menerima kucupan di dahi. 

Sedang khusyuk melihat semua itu, silau cahaya yang tiba-tiba memancar mengejutkanku. Dengan muka yang berkerut, aku memandang jurugambar. Seorang lelaki yang segak berbaju Melayu rona biru. Tapi wajahnya terhalang dek kamera yang besar gedabak. Apa kes mamat ni?! Ambik gambar aku buat apa?! Bukannya aku pengantin! Gatal-gatal pulak snap gambar aku! 

Lelaki itu menurunkan kamera. Sambil tersenyum kecil, dia mengenyitkan mata kepadaku. Ternganga aku dibuatnya. Aizat?! 

Cepat-cepat aku tutup mulut. Lalu kembali memandang pasangan pengantin.

Dia mengangkat kembali kamera dan meneruskan tugas pentingnya itu. Dan kemudian, sekali lagi cahaya memancar ke arahku. Aku pandangnya dengan ekor mata sahaja. Nasib baik orang lain tak perasan! Kalau tidak, mau kecoh satu kampung!


Aku sudah memejamkan mata ketika telefon bimbit tiba-tiba berbunyi, menandakan ada mesej masuk. Disebabkan keletihan yang tak tertahan, aku biarkan saja. Tak lama kemudian, ada lagi mesej masuk. Masuk. Masuk. Dan masuk.

Aku buka mata. Telefon bimbit kucapai. Satu persatu mesej aku baca.

“Awk rupanya perempuan rajin yg nenek duk sebut2 ..”

“Awk nmpk cntik dlm baju kurung biru. Tiru sy ye?”

 “Jgn terasa sgt dgn mak cik2 tdi tu. Diorg gurau je. Tp air awk bt ... sdp!”  

  “Luka hari tu mcm mn?”

“Dh tdo? Ke x nk lyn sy? X pe la, slmt mlm. sweet dream ..”

Tersenyum jugak aku dibuatnya. Tapi tak tergerak hati untuk membalasnya sekarang.


Semester baru sudah bermula. Semester akhir buat Lelaki Budiman. Lepas ni, tak tahulah sama ada aku masih boleh mengejarnya atau tidak.


Hari ini aku ke perpustakaan. Tapi dia tak ada. Yang ada hanyalah rakan-rakan sekelasnya. Hilang semua semangatku. Tapi aku tetap perlu membuat kajian. Kertas kerja perlu dihantar dua minggu lagi. Dengan kaki yang agak berat, aku melangkah ke rak-rak buku. 

“Aizat kata, buat masa sekarang ni dia sibuk sikit. Buat persediaan. Katanya nak jumpa keluarga bakal mertua.” Aku terdengar cakap-cakap Hanif dengan rakan-rakannya.

Terasa jantung berdegup kencang. Mertua?!

“Gila! Muda lagi dah fikir pasal kawin! Sekarang ni masa untuk enjoy! Last sem lagi ni!” Suara si playboy Krill pula kedengaran. 

Serta-merta aku mencebik. Kalau dah dasar playboy!

“Itu la beza dia ngan kau! Yang kena serius, dia serius! Tak main-main! Kau ni, semua benda main-main!” Em ... nampaknya ada jugak yang realistik!

“Itu pasal la Nia tak pandang kau! Semua hal main-main!” Ada lagi yang memprovok si Krill!

“Sape yang dia gila-gilakan sangat sampai nak buat bini tu?!” Hish ... kasar sungguh bahasa si playboy Krill!  

“Aku tak tau. Tak ade cakap plak. Yang dia kata, 3 April.” Tenang suara Hanif.

“Eh ... 3 April?! Bukan ke birthday Nia?!” Aku telan liur.

“Tak tahu la ada kaitan tak. Tapi ... mungkin!” 

“Bukan Nia sorang lahir 3 April. Anyway ... just wait and see.” Akhirnya Hanif memutuskan. Sudah bosan barangkali. 


Aku pulang ke bilik dengan otak yang berserabut. Nampaknya akan berakhirlah episod kejar-mengejar yang aku syok sendiri ini. Memang benar-benar lelaki budiman! Dah tak fikir nak main-main langsung dalam soal cinta. 


“Rasanya aku patut lupakan dia. Dia dah fikir pasal kahwin. 3 April. Birthday Rania.” Aku bersuara perlahan sambil merenung siling.

“3 April?! Rania lahir 3 April?! Korang ni kembar ke?!” Wawa dengan muka berkerut seribunya aku pandang sepi.

“Ya ... 3 April. Kembar macam mana pulak, Wawa? Aku Johor, dia KL. Kebetulan aje lahir sama 3 April. Mia dengan Nia. Macam aje dekat. Tapi nama sebenar jauh menyimpang. Mia Nur Sara, Rania. Rania, Mia Nur Sara.” 

Terkebil-kebil mata Wawa memandangku. Kemudian matanya memandang siling dengan mulut terkumat-kamit. Uhm ... tengah interpret data la tu! 


3 April. Aku menghayun langkah ke kafe dengan hati yang berdebar-debar. Hari ini la hari yang aku tunggu-tunggu. Bukan kerana nak menyambut ulang tahun yang menandakan bertambahnya penuaan, tetapi kerana Aizat! Semuanya kerana Aizat! Pergi ke kafe ni pun kerana Aizat! 

Ahli Persatuan Bola Tampar berkumpul untuk meraikan ulang tahun ahli-ahli persatuan. Ada la tu agendanya pilih 3 hari bulan! 

Ada dalam 28 orang yang diraikan. 

“Sabar la Mia. Enjoy je la. Kau antara yang diraikan. Sayang kalau kau duk melangut dalam majlis kau sendiri.” Wawa menepuk-nepuk bahuku. 

Aku sekadar tersenyum. Nak kata apa lagi?

Aizat datang menghampiriku bersama beberapa orang kawannya. Semua  bergilir-gilir mengucapkan kata selamat. Aku anggukkan kepala sambil mengucapkan terima kasih. Nak lebih-lebih, segala semangatku sudah berterbangan. Senyum pun terasa palsu je. 

Ingatkan mereka akan beredar, tapi rupa-rupanya semua pakat duduk semeja denganku. Cakap itu dan ini padaku. Ya ALLAH! Masa aku tak ada perasaan inilah korang nak bermesra! Tak nampak ke muka aku yang masam macam cuka ni?! 

Wawa yang setia di sebelah pula yang tolong menjadi ‘mulutku’. Dia  yang banyak melayan budak-budak tu. Sampai berkerut-kerut dahi diorang pandang muka aku dan Wawa. Silih berganti.

“Kau datang bulan, ke Mia?! Masam je!” Satu soalan terlontar daripada mulut Krill.

Aku yang sedang mengunyah kek coklat tersedak. Jahanam! 

Aizat cepat-cepat menghulurkan segelas jus oren kepadaku. Aku meneguk jus itu perlahan-lahan. Pedih tekakku!

Terpinga-pinga Wawa mencerlung Krill sambil menepuk-nepuk belakangku. Semua yang lain kelihatan kurang senang dengan soalan bodoh Krill, menyiku mamat tu! Malaun betul! 

Krill memandang mukaku yang merah menyala dengan sengihan panjangnya. Sambil menjeling, aku meneguk lagi jus oren.

“Oh ye, Zat! Sape bakal bini kau?! Nia?!” Sekali lagi Krill bersuara.

“Not Nia, but Mia! Ok?!” Aizat bersuara kuat dan tegas. 

Aku yang tengah meneguk jus oren tersedak air pula. 

Terasa pedih dan sakit hidung dan tekakku. Mata juga berair-air. Terbatuk-batuk panjang lagi.

Aizat yang bagaikan baru tersedar daripada kesilapannya hanya mampu memandang aku yang kelihatan tengah sengsara dengan riak muka bersalah. Sesekali menelan liur, dan menjeling tajam si Krill di hujung meja. Barangkali dia memang tengah berasap dengan mulut si Krill, sampaikan tak sedar kata-katanya sendiri!

Lama terbatuk-batuk, akhirnya lega juga aku.

Nasib baik sempat telan, kalau tak, maunya tersembur keluar! Dan dah tentu akan habis menyimbah muka Aizat yang duduk di depanku. Memalukan! 

Aku menggenyeh mata dan hidung yang perit silih berganti. Malangnya hari ni!

Perasaan apa yang patut aku rasa? Gembira? Tapi kenapa bukan perasaan itu yang aku rasakan sekarang? Panas dan meruap-ruap adalah. 

Semua diam membisu. Memandang aku dan Aizat. Aku turut terdiam. Memandang Aizat, rakan-rakannya, dan kemudian Wawa. Silih berganti.    

“Cinta?” Tanyaku pada Aizat sepatah. Dia terangguk-angguk. Masih dengan riak tadi.

Aku pula terangguk-angguk.  Aku senyum. “Kujuga mencintaimu.”

No comments:

Post a Comment